Monday, June 15, 2026

APAD beri surat tunjuk sebab kepada syarikat treler

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab (STS) kepada syarikat perkhidmatan treler yang merempoh 13 kenderaan di Putrajaya bagi mendapatkan perincian mengenai kejadian.

Menerusi kenyataan APAD berkata, pihaknya memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan kemalangan tersebut.

Tegas APAD, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan agensi terlibat bagi mendapatkan laporan berkaitan sebelum sebarang tindakan lanjut ke atas syarikat pengendali dapat dilaksanakan.

“Tindakan awal juga telah dibuat dengan memanjangkan STS kepada pihak syarikat bagi mendapatkan perincian mengenai kejadian.

“Sekiranya hasil siasatan dan laporan mendapati berlaku sebarang perlanggaran syarat lesen perkhidmatan, APAD boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah seksyen 62, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya malam tadi.

Dalam kejadian di kilometer (KM) 5.8 Jalan Persiaran Utara arah ke Puchong berdekatan susur keluar Jalan Persiaran Timur, Putrajaya pada 20 September lalu, sebuah treler muatan batu pasir merempuh 13 buah kenderaan yang lain.

Akibat rempuhan tersebut menyebabkan dua individu maut selain pelbagai kerosakan ke atas kenderaan yang terlibat.

Dalam pada itu, APAD menegaskan, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan tindakan pemandu pengangkutan awam darat yang membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Sememangnya, APAD tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan insiden yang berlaku ini amatlah dikesali,” tegasnya. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan