KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Mohamad Akmal Saleh merakamkan penghargaan terima kasih kepada kepimpinan utama MCA dan MIC kerana kekal setia bersama Barisan Nasional (BN).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, kesetiaan yang terjalin antara parti komponen BN itu diharap dapat kekal lama.
Apatah lagi katanya, MCA dan MIC diuji dengan pelawaan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor menyertai mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Terima kasih MCA dan MIC atas kesetiaan bersahabat sejak dari dulu, kini dan insy-Allah selamanya. Ini rumah kita yang perlu kita perbaiki bersama-sama.
“Tiada istilah saling mempergunakan antara satu sama lain, yang ada adalah kita saling melengkapi dan menghormati antara satu sama lain. Kekal bersahabat,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Muhammad Sanusi semalam berkata, PN tidak keberatan memberikan kerusi kepada MCA dan MIC untuk bertanding dalam PRN nanti sekiranya kedua-dua parti itu meninggalkan BN.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Kas Siong, melalui Facebook sekadar memberi komen ringkas ‘No‘ (“Tidak”) mengenai pelawaan itu.
Sementara Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran pula menegaskan parti itu masa ini tidak dapat mempertimbangkan tawaran berkenaan. – Edisi 9

