Thursday, June 4, 2026

Kelantan FC terbuka berunding dengan Nurshamil

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KELANTAN FC terbuka mengadakan rundingan bersama penyerang, Nurshamil Abdul Ghani berhubung penamatan kontrak secara persetujuan bersama.

Tampil menjelaskan situasi sebenar, The Red Warrior berkata, tuntutan sebanyak RM50,000 seperti yang tular di media sosial adalah nilai pampasan bersamaan nilai gaji untuk baki tempoh kontrak pemain tersebut.

Ini kerana, penyerang berasal dari Melaka itu mempunyai kontrak berbaki 18 bulan sehingga November 2024.

“Dalam kes penamatan kontrak sebelum tamat tempoh oleh pemain, sama ada secara bersama mahupun secara sebelah pihak, kelab berhak menuntut nilai pampasan bersamaan nilai gaji untuk baki tempoh kontrak pemain tersebut. 

“Dalam kes ini, pemain tersebut masih mempunyai 18 bulan baki tempoh kontrak lagi.

“Sungguhpun begitu, sebenarnya nilai RM50,000 yang dituntut tersebut adalah hanya lebih kurang separuh sahaja daripada nilai baki kontrak yang berhak dituntut kelab,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial apabila Nurshamil didakwa terpaksa membayar RM50,000 jika mahu menamatkan kontrak dengan Kelantan.

Menerusi story di Instagramnya, pemain itu mendakwa kelab juga gagal melunaskan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bonus yang sepatutnya diterima.

Sementara itu, Kelantan berkata, kepergian beliau bakal merencatkan persiapan kelab untuk pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia.

“Kelab pastinya mengalami kerugian sekiranya pemain yang dibangunkan hanya perlu semudah meminta penamatan bersama tanpa pampasan dan kemudiannya bebas memasuki kelab lain untuk meraih manfaat yang lebih tinggi. 

“Budaya ini pastilah merugikan kelab sedangkan kami yang mengasah dan membangunkan bakat pemain tersebut tidak menerima sebarang manfaat daripada pemindahan pemain yang dibangunkan tersebut.

“Nilai RM50,000 itu bukanlah suatu nilai muktamad dan lelab masih terbuka kepada rundingan untuk mencapai penamatan secara persetujuan bersama dalam keadaan baik dan harmoni yang memberikan keuntungan kepada semua pihak,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan