SERAMAI 2,154 orang telah diberikan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) kerana membuang sampah kecil di tujuh negeri yang melaksanakan Akta 672 setakat hari ini.
Ketua Pegawai Elsekutif, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, daripada jumlah itu seramai 1,655 merupakan rakyat tempatan manakala 499 orang lagi warganegara asing.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, seramai 15 pesalah kanak-kanak turut dikenal pasti dan telah menerima NPK.
Beliau berkata, ini sekali gus menunjukkan bahawa isu pembuangan sampah kecil turut melibatkan golongan bawah umur serta memerlukan pendekatan pendidikan dan kesedaran yang lebih menyeluruh.
“SWCorp turut mengenal pasti seramai 1,736 pesalah bagi kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam, dengan puntung rokok mencatat bilangan tertinggi.
“Data merekodkan peningkatan ketara sebanyak 26 kali ganda bagi kes pelanggaran pada minggu pertama April 2026 berbanding tempoh sama pada Mac 2026, susulan peluasan kawasan operasi serta pelaksanaan strategi yang lebih agresif dalam pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya hari ini.
Beliau menegaskan, sebarang alasan berhubung “kesalahan kecil” tidak lagi boleh diterima dan membuang sampah walaupun berskala kecil seperti puntung rokok merupakan satu kesalahan serius.
Ini kerana ia mencemarkan persekitaran, menjejaskan imej negara dan memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, tegas beliau, SWCorp akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara menyeluruh dan berskala besar di seluruh negara, termasuk tindakan pendakwaan terhadap pesalah yang ingkar.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan pematuhan undang-undang serta memupuk rasa bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Sebelum itu, tiga pesalah warga tempatan telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka dan disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
SWCorp berkata, ketiga-tiga Orang Kena Saman (OKS) terbabit telah didapati bersalah kerana membuang sampah kecil iaitu puntung rokok di tempat awam.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 77A(1) Akta 672.
Pesalah pertama dikenakan denda sebanyak RM500 atau satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda serta diperintahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama 12 jam.
Pesalah kedua pula dikenakan denda sebanyak RM700 atau satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda serta diperintahkan menjalani PKM selama 10 jam.
Manakala pesalah ketiga dikenakan denda sebanyak RM500 atau satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda serta diperintahkan menjalani PKM selama 12 jam.
Kesemua pesalah dikehendaki melaksanakan PKM dalam tempoh enam bulan. — Edisi 9

