SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyaksikan majlis memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.
Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
MoU antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kerajaan Negeri Selangor itu bagi memperluas pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar di negeri itu.
Menurut kenyataan MCMC, ia meliputi penyediaan perkhidmatan Wi-Fi awam berkelajuan tinggi, peluasan rangkaian gentian optik bagi keperluan masa hadapan, pelaksanaan rangkaian generasi kelima (5G) serta pemasangan tiang pintar bagi memastikan liputan rangkaian yang menyeluruh di seluruh negeri.
Selain itu katanya, ia juga bagi memperkukuh keselamatan awam, pengurusan trafik dan pengurusan banjir pintar yang kesemua inisiatif itu akan dipantau melalui Selangor Integrated & Intelligent Operations Centre (SIIOC).
“Pada masa sama, peruntukan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini telah dipertingkat kepada RM450 juta, berbanding peruntukan asal RM350 juta, susulan permohonan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada MCMC,” kata kenyataan itu.
Sesi pertukaran dokumen MoU telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Hadir sama menyaksikan pertukaran dokumen ialah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
MCMC berkata, Smartsel Sdn. Bhd. (Smartsel), anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bertindak sebagai agensi pelaksana utama untuk menyelaraskan integrasi lima komponen bandar pintar.
Ini termasuk mobiliti, keselamatan awam, pengurusan bencana, tadbir urus digital, serta ketersambungan industri melalui rangkaian 5G.
Kata MCMC, pelantikan Smartsel bagi memacu transformasi strategik itu selari dengan aspirasi nasional Malaysia Digital 2030 dan Pelan Pendigitalan Negeri Selangor 2026-2030.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan teknologi termaju seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI) memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
MCMC berkata, inisiatif Bandar Pintar Negeri Selangor bukan sahaja memfokuskan pembangunan infrastruktur, malah memperkasakan komuniti melalui perkhidmatan digital yang cekap, selamat dan inklusif, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
Prakarsa Pembangunan Bandar Pintar Negeri Selangor bersedia memperkukuh transformasi teknologi bersepadu di peringkat negeri.
Katanya, ini termasuk pengintegrasian data masa nyata daripada sensor IoT di seluruh Selangor, bagi menangani cabaran perbandaran yang semakin kompleks serta memperkukuh penyelarasan penyampaian perkhidmatan merentas agensi kerajaan negeri.
Keberangkatan Sultan Selangor dan Raja Muda pula mencerminkan komitmen negeri terhadap agenda digital bagi menjamin kesejahteraan rakyat melalui tadbir urus berdaya tahan yang memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup, kecekapan perkhidmatan dan kelestarian pembangunan di Selangor. — Edisi 9

