Sunday, June 14, 2026

Platform media sosial besar disifatkan berlesen mulai 2026

Langkah itu bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia negara secara teratur serta berkesan.

Mesti Baca

SEMUA penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai 8 juta atau lebih pengguna di negara ini disifatkan berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP-C) mulai 1 Januari 2026.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, langkah itu dilaksanakan melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menerusi Peruntukan Deeming.

Menurut MCMC, langkah itu bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan dan kawal selia negara secara teratur serta berkesan.

Suruhanjaya itu berkata, pendekatan tersebut selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, sekali gus bertujuan mengukuhkan tahap akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.

Inisiatif ini juga bagi memastikan semua platform terlibat untuk memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

MCMC menjelaskan, Peruntukan Deeming tersebut akan dilaksanakan terhadap penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube, dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, manakala pelaksanaan Peruntukan Deeming hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.

Dalam pada itu, MCMC menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan terlibat akan terus beroperasi melalui platform global masing-masing seperti biasa, selaras dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.

MCMC turut memaklumkan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh tahap keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak dan keluarga, demi manfaat semua pengguna di Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Peruntukan Deeming boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi MCMC.  — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan