MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) hari ini menjalinkan kerjasama dengan Shanghai Jiao Tong University (SJTU), iaitu universiti ketiga terbaik di China dan ke-47 dunia menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai di Shanghai, China.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu membuka ruang baharu dalam bidang pendidikan, penyelidikan TVET berimpak tinggi serta pembangunan sosio-budaya antara Malaysia dan China.
“Ia menandakan langkah besar MARA dalam memperluas jaringan pendidikan global dan melahirkan lebih ramai pelajar Bumiputera yang berdaya saing di pentas antarabangsa.
“Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pertukaran kepakaran teknikal, penyelidikan inovatif, pertukaran pelajar dan tenaga akademik, serta penerokaan peluang biasiswa di SJTU,”katanya menerusi media sosialnya.
Hadir sama Pengerusi Majlis Universiti SJTU, Yang Zhenbin dan Pengerusi MARA, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid berkata, sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, beliau melihat inisiatif tersebut sebagai sebahagian daripada usaha kementerian dalam memperkukuh ekosistem TVET Malaysia.
Katanya, ini agar bidang tersebut akan terus relevan dengan perkembangan teknologi global serta mampu membangunkan bakat luar bandar sehingga bertaraf dunia.
“Insya-Allah, kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada generasi muda Malaysia untuk menimba ilmu, menguasai teknologi sekali gus membawa nama negara ke persada antarabangsa,”katanya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi menerusi media sosialnya berkata, MoU tersebut turut membuka ruang kepada penerokaan peluang biasiswa dan penajaan bersama yang akan memanfaatkan pelajar MARA.
Selain itu, katanya, ia juga meneroka laluan pengajian terbaik di universiti bertaraf dunia yang kini berada pada kedudukan ke-47 terbaik dunia dan kedudukan pertama di China dalam bidang kejuruteraan maritim dan perniagaan, serta ketiga keseluruhan di negara itu.
“Kerjasama ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar program akademik.
“Ia adalah langkah strategik MARA untuk melahirkan modal insan Bumiputera yang mampu bersaing dan memimpin di peringkat global, menguasai teknologi masa depan serta berperanan sebagai pemacu kemajuan negara,” katanya. – Edisi 9

