MALAYSIA kini memberi tumpuan kepada pasaran baharu pendidikan tinggi dalam kalangan negara-negara Global South seperti Afrika dan Amerika Selatan bagi memperkasa agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, sebelum ini tumpuan lebih diberikan kepada pasaran Barat yang kini dilihat semakin tepu.
Beliau berkata, langkah mengembangkan fokus ke negara-negara selatan penting kerana potensi pasaran pendidikan tinggi di rantau itu amat luas dan mampu memberi peluang besar kepada Malaysia.
“Sudah tiba masanya untuk kita menukar arah daripada hanya menumpukan kepada negara Barat, sebaliknya melihat potensi di negara-negara selatan yang lebih besar.
“Negara-negara seperti Afrika dan Amerika Selatan mempunyai peluang yang amat luas untuk Malaysia menawarkan program pendidikan, sama ada secara konvensional mahupun secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, Malaysia boleh memanfaatkan kaedah baharu seperti program berkonsep micro-credentials dan Open and Distance Learning (ODL) yang sesuai ditawarkan kepada pelajar luar negara.
Katanya, peluang ini perlu diteroka segera sebelum negara lain mengambil kesempatan menembusi pasaran tersebut.
“Jika Malaysia berjaya menembusi pasaran ini, agenda Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global akan dapat direalisasikan dalam tempoh yang lebih cepat.
“Hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk mencapai sekitar 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030 juga pasti akan menjadi kenyataan,” katanya. – Edisi 9

