SEMUA pusat tahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara akan dilengkapi dengan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, langkah terssebut bagi meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan tahanan terpelihara.
“Pelaksanaan ini merupakan inisiatif strategik kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dalam memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan,” katanya.
Anwar berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 semalam yang dipengerusikan beliau.
Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memandang serius insiden berulang melibatkan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.
Katanya, ia bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara bahkan menyebabkan ketirisan hasil laut negara yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan.
“Atas keprihatinan dan pendirian kerajaan untuk tidak berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara, mesyuarat bersetuju supaya isu-isu melibatkan perairan negara diatasi melalui usahasama strategik antara Malaysia dan negara-negara terlibat,”katanya.
Anwar berkata, reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui semalam mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara serta mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam. – Edisi 9

