SERAMAI 662 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi bersepadu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) malam semalam di sekitar kawasan apartmen dan taman perindustrian Pulau Indah, Kelang, Selangor.
Pengarah Imigresen negeri, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 9.30 malam itu melibatkan 242 pegawai daripada pelbagai agensi.
Beliau berkata, antara agensi terlibat ialah JIM Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kuala Lumpur; Pasukan Gerakan Am (PGA); Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Daerah Klang, Pejabat Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Hasil pemeriksaan terhadap 1,132 individu, seramai 662 PATI terdiri daripada 643 lelaki dan 19 wanita berusia antara 16 hingga 80 tahun ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat pas serta menggunakan dokumen tidak sah.
“Kesemua tahanan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” kata beliau.
Khairrul Aminus berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi berterusan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi atau menggajikan PATI kerana tindakan tegas boleh dikenakan mengikut undang-undang,” katanya. — Edisi 9

