Monday, July 20, 2026

Awesome TV saman tiga pelawak, kesal dengan Ahli Parlimen

Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu tersebut telah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV

Mesti Baca

AWESOME Broadcasting Sdn Bhd (Awesome TV) akan memfailkan saman fitnah terhadap tiga pelawak kerana menuduh stesen TV itu gagal melunaskan bayaran bagi penglibatan mereka dalam program-program televisyennya.

Awesome TV berkata, tiga pelawak terbabit ialah Mohamad Amirullah Azmi atau nama pentasnya Amir Raja Lawak, Mohamad Ikhtarudin Bin Naina Mohamad (Mamak Puteh), dan Abu Musarrif bin Abu Bakar (Abu Mamu).

“Pihak Awesome TV ingin menjelaskan bahawa semua program yang disiarkan di saluran kami diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar (production house) dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.

“Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu tersebut telah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketiga-tiga pelawak tersebut didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang disebarkan melalui laman media sosial masing-masing.

Kenyataan mereka kemudian mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang kemudian membawa isu tersebut ke Dewan Rakyat.

Awesome TV berkata, mereka terkejut dengan tindakan Syerleena yang membawa isu tersebut ke Parlimen tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta yang lebih teliti.

Katanya, ini sekali gus mengundang salah faham dan memberi gambaran yang tidak tepat terhadap pihak Awesome TV. 

“Sebagai ahli Parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar,” katanya.

Justeru, Awesome TV berkata, pihaknya telah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap mereka bagi melindungi integriti Awesome TV.

“Awesome TV memandang serius sebarang tuduhan yang tidak berasas dan sebarang usaha untuk mencemarkan nama baik Awesome TV,” katanya.

Awesome TV kekal komited untuk menyediakan kandungan berkualiti kepada rakyat Malaysia dan akan terus mempertahankan hak serta reputasi kami melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.

“Kerana rakyat keutamaan kami,” katanya. — Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan