KERAJAAN bersetuju mengangkat inisiatif Transitioning Industrial Clusters (TIC) sebagai agenda nasional dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi hijau dan menyokong pertumbuhan industri masa depan berteraskan kelestarian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut merupakan antara keputusan penting yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 3/2025 yang dipengerusikan beliau hari ini.
Menurut beliau, pendekatan TIC mampu menyatukan syarikat swasta dan institusi awam dalam membentuk ekosistem bersepadu yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi mapan, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon negara.
“Saya tertarik dengan pembentangan berkaitan perancangan Sarawak membangunkan TIC di Bintulu, yang berpotensi menyumbang tambahan RM12 bilion kepada KDNK, mewujudkan 19,000 pekerjaan baharu dan mengurangkan 21.35 juta tan pelepasan karbon menjelang tahun 2040,” katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat berkenaan.
Katanya lagi, inisiatif tersebut sejajar dengan aspirasi Sarawak ke arah karbon sifar dan mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai peneraju industri hijau negara.
Dalam mesyuarat itu, Anwar turut menekankan keperluan memperluas pelaksanaan MyDigital ID ke sektor swasta sebagai satu langkah penting membina ekosistem digital negara yang lebih selamat, inklusif dan dipercayai.
“Kita mesti membina ekosistem digital yang selamat dan menyeluruh, bukan hanya dalam urusan kerajaan tetapi juga dalam kehidupan harian rakyat serta perniagaan masa depan,” jelasnya.
Mesyuarat turut dimaklumkan mengenai pelaksanaan inisiatif GovTech Malaysia termasuk pembangunan aplikasi MyGOV Malaysia sebagai gerbang digital tunggal kerajaan yang membolehkan rakyat berurusan secara dalam talian dengan pelbagai agensi tanpa perlu hadir ke kaunter. — Edisi 9

