KEMENTERIAN Kewangan (MOF) memberi penjelasan berhubung laporan media yang menimbulkan kekeliruan mengenai pelaksanaan Cukai Jualan ke atas buah-buahan tempatan susulan pewartaan Perintah Cukai Jualan PU(A) 170/2025.
Menurut MOF, buah-buahan yang ditanam dan dihasilkan dalam negara adalah tidak tertakluk kepada Cukai Jualan sebanyak 5 peratus yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
“Cukai Jualan hanya dikenakan ke atas barangan yang dikeluarkan secara pembuatan dalam negara atau yang diimport.
“Oleh kerana hasil pertanian seperti buah-buahan tempatan tidak dikategorikan sebagai barang keluaran kilang, ia adalah dikecualikan daripada cukai ini,” jelas MOF dalam satu kenyataan, semalam.
Bagaimanapun, kementerian menegaskan bahawa buah-buahan tropika yang diimport, termasuk pisang, nanas dan rambutan dari luar negara, akan dikenakan Cukai Jualan 5 peratus seperti yang diperincikan dalam warta berkenaan.
Dalam pada itu, MOF turut memberi jaminan bahawa kerajaan prihatin terhadap kebimbangan dalam kalangan syarikat berkaitan pelaksanaan cukai perkhidmatan yang diperluas di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baharu.
Bagi perkhidmatan yang baharu dikenakan cukai seperti penyewaan, syarikat yang belum berdaftar di bawah SST diberikan tempoh sehingga Ogos 2025 untuk mendaftar, sekiranya pendapatan tahunan mereka mencecah ambang RM500,000.
“Cukai Perkhidmatan hanya akan mula dikenakan mulai 1 September 2025, memberikan masa lebih dua bulan kepada syarikat terlibat untuk membuat persediaan,” tambah kenyataan itu.
Sebagai langkah sokongan, MOF turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan tempoh kelonggaran sehingga Disember 2025, dan tidak akan mengenakan sebarang penalti terhadap syarikat yang benar-benar berusaha untuk mematuhi peraturan baru ini.
Langkah ini dilihat sebagai usaha kerajaan untuk memastikan pelaksanaan SST yang lebih meluas dapat dijalankan secara berperingkat dan memberi ruang kepada sektor perniagaan menyesuaikan diri dengan perubahan dasar cukai. – Edisi 9

