PENGURUSAN Terengganu FC (TFC) menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak membuat bayaran gaji kepada bekas pemain import mereka, Ivan Mamut selama sembilan bulan.
TFC sebaliknya berkata, dakwaan tersebur tidak tepat dan mengambil sumber yang bukan dari kenyataan pihaknya.
Sehubungan itu, TFC berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang laman sosial mahupun pihak yang mengeluarkan serta menyebarkan.
Menjelaskan isu tersebut, TFC berkata, pemain berasal dari Croatia itu telah menandangani kontrak lanjutan musim 2024/2025 pada Disember 2023.
“Walau bagaimanapun, beliau mengalami kecederaan serius Achilles Tendon sekitar Mac 2024 menyebabkan beliau tidak dapat bermain.
“Pada bulan April-Mei 2024, pihak TFC sedaya upaya membantu beliau dalam proses pemulihan.
“Bagaimanapun, beliau berkeras untuk melakukan rehabilitasi di negaranya iaitu Croatia dengan alasan ianya lebih baik.
“Pihak TFC dan pemain bersetuju dengan terma dan syarat. Namun, setelah tamat rehabilitasi di Croatia, pihak perubatan TFC mendapati kecederaan yang dialami tidak ada perubahan,” kata kelab itu dalam kenyataan hari ini.
TFC berkata, pada Julai 2024, Ivan sekali lagi memohon kepada pihak TFC untuk pulang bagi melakukan pembedahan serta pemulihan negara asalnya sehingga Disember 2024 dengan syarat dan terma dipersetujui.
Katanya, pada Januari lalu, penjaring 22 gol pada musim pertama di Terengganu melapor diri dengan harapan ia bersedia untuk dimasukan dalam program latihan bagi baki saingan.
Namun, katanya, ia tidak sebagaimana diharapkan kerana ketersediaan pemain dilihat tidaklah cergas sepenuhnya.
Malahan bagi Musim 2024/2025 beliau tidak mampu menyumbang apa-apa minit kepada perlawanan rasmi Liga Malaysia.
“Pihak TFC sentiasa menjaga kebajikan dan sentiasa memberi peluang kepada semua pemain untuk berbincang mendapatkan jalan yang terbaik demi kesejahteraan dan kebaikan pasukan.
“Jika ada sebarang perkara yang tidak dijelaskan sama ada gaji dan hal-hal lain, saluran yang betul boleh digunakan sebagaimana termaktub di dalam perjanjian kontrak yang telah dipersetujui serta menunjukan sikap profesional.
“Pihak TFC berharap agar isu ini tidak dimainkan serta digembar gemburkan yang akhirnya memberi tanggapan negatif kepada peminat serta Liga Malaysia secara amnya,” katanya. – Edisi 9

