POLIS Diraja Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas dadah bernilai RM25 juta di Sungai Setiu, Terengganu pada 23 April lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, dalam dua serbuan berasingan itu, pihaknya berjaya menangkap dua lelaki tempatan berusia 32 dan 39 tahun.
Beliau berkata, pihaknya juga berjaya merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 480.29 kilogram (kg) dan Heroin Base seberat 109.89 kg.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM25 juta dan boleh diguna pakai oleh seramai 2.95 juta penagih/pengguna dadah sekiranya terlepas ke pasaran haram,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat polis Daerah (IPD) Setiu hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin dan Komander Pasukan Polis Marin PDRM, ACP Hairy Ramlan.
Mat Zani berkata, serbuan yang diketuai oleh JSJN Bukit Aman itu turut disertai oleh JSJN Terengganu, JSJN Kelantan dan Pasukan Gerakan Marin PDRM.
Beliau berkata, suspek pertama telah ditangkap oleh polis ketika sedang memunggah beg-beg berisi dadah dari dalam bot ke tebing sungai.
Manakala suspek kedua, katanya, ditangkap pada malam yang sama di tepi Pulau Tok Bilal bersama sebuah beg galas berisi dadah di dalam bot fiber.
“Modus operandi sindiket ini beroperasi dengan menggunakan bot sewa untuk menyeludup dadah masuk melalui jalan laut sebagai laluan utama.
“Mereka menyewa bot dengan harga RM4,800 di bawah pakej memancing tiga hari dua malam,” kata beliau.
Dalam pada itu, pihak JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita aset kedua-dua suspek termasuk tiga kenderaan serta barang-barang kemas, kesemuanya dianggarkan bernilai RM46,000.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 39B ADB 1952 dan kedua-dua suspek direman sehingga 7 Mei 2025 bagi membantu siasatan.
Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
“Pihak polis akan terus menjalankan siasatan lanjut yang terperinci bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih aktif beroperasi di luar sana,” katanya. – Edisi 9

