TINDAKAN Datuk Seri Rafizi Ramli yang melepaskan jawatan sebagai menteri Kabinet akan “membebaskannya” daripada menjadi mangsa “kerat 2.0”, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Ini kerana, menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menjadi medan bagi Rafizi untuk mengoyak dan merobek reputasi partinya sendiri.
“Rafizi kata, reformasi PKR gagal. Justeru geng dia bangkit demi hidupkan reformasi tulin.
“Dia bawa slogan HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Ujian Kuasa). Apabila tuduh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan PKR gagal melaksanakan reformasi secara tidak langsung dia juga menuduh kerajaan gagal,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas peletakan jawatan Rafizi dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan setelah tewas dalam pemilihan PKR baru lalu kepada Nurul Izzah Anwar.
Mohd Puad berkata, tindakan Rafizi mengundurkan diri itu juga meletakkan janji reformasi kepada Anwar selaku Presiden PKR yang sebelum ini masing-masing dikatakan cuba menonjolkan reformasi tulin.
“Berlaku perebutan, siapa pendokong reformasi tulin. Apabila Rafizi masuk ke dewan, penyokongnya menjerit “reformasi”. Bila Anwar tutup ucapan penggulungannya, dia juga melaungkan reformasi.
“Ternyata reformasi hanya hiruk-pikuk. Ia gagal bukan kerana ujian kuasa tetapi kurang upaya menjayakannya,” kata Mohd Puad dengan sinis.
Katanya, jelas slogan reformasi hanya retorik apabila Rafizi sendiri menuduh berlaku korupsi dalam sistem pemilihan PKR.
ADUN Rengit itu berkata, walaupun Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata akan membincangkan peranan Rafizi namun Ahli Parlimen Pandan itu telah meletakkan jawatan menteri.
“Dia terselamat daripada jadi mangsa kerat 2.0. Janji reformasi bukan lagi tanggungjawabnya. Ia beban kepada PMX. Siapa akan kerat siapa?,” katanya.
Pada 2020 lalu, PKR telah memecat 10 pemimpin mereka diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohd Azmin Ali kerana terlibat dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu tumbang selepas 22 bulan mentadbir negara. – Edisi 9

