Monday, July 20, 2026

Kalah pemilihan: Rafizi tekad teruskan perjuangan reformasi

Beliau mengakui tidak kecewa dengan kekalahan tersebut, sebaliknya melihatnya sebagai hikmah untuk lebih mendekati rakyat.

Mesti Baca

DATUK Seri Rafizi Ramli menzahirkan rasa syukur atas sokongan padu rakyat biasa terhadap kempen politiknya baru-baru ini walaupun beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu semalam.

Menteri Ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, semangat perjuangan dan idealisme reformasi akan beliau terus semarakkan.

Dalam kenyataan penuh emosi hari ini, Rafizi, yang telah berkecimpung dalam perjuangan reformasi sejak lebih dua dekad lalu, mengakui beliau tidak kecewa dengan kekalahan tersebut, sebaliknya melihatnya sebagai hikmah untuk lebih mendekati rakyat.

“Saya tidak langsung kecewa. Malah saya rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan dari sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.

Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan PKR sempena Kongres Nasional parti itu yang berlangsung di Johor Bahru semalam.

Beliau turut berkongsi detik-detik getir sepanjang karier politiknya, termasuk menghadapi 16 kes mahkamah iaitu tujuh kes jenayah dan sembilan saman sivil, sebagai akibat dari keberaniannya mendedahkan skandal-skandal kewangan negara.

Mengulas mengenai sokongan luar biasa daripada akar umbi dan rakyat, Rafizi menyatakan rasa terharu dan berterima kasih, menyifatkan ia sebagai suntikan semangat untuk meneruskan perjuangan reformasi yang belum selesai.

“Saya amat berbangga dengan ahli biasa PKR dan penyokong yang tetap teguh mempertahankan idealisme ini sepanjang kempen, walaupun segala-galanya telah disusun untuk tidak memihak kepada saya,” ujar beliau.

Rafizi menegaskan perjuangan beliau bukan kerana jawatan atau ganjaran, sebaliknya berteraskan kepercayaan kepada demokrasi dan pembinaan sebuah Malaysia yang majmuk serta progresif.

“Saya mahu melihat perubahan kerajaan secara demokratik berlaku buat pertama kali kerana saya percaya persaingan sihat antara parti-parti politik adalah baik untuk rakyat,” katanya lagi.

Walaupun keputusan pemilihan kali ini tidak berpihak kepadanya, Rafizi menegaskan beliau tidak akan berputus asa dan akan terus mendampingi rakyat.

“Dengan lebih banyak masa yang ada, Insya-Allah saya akan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama rakyat biasa selepas ini,” katanya.

Menutup kenyataannya, Rafizi turut menyeru semua penyokong agar menerima ketetapan dengan redha dan yakin bahawa segala yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri.

“Kita mesti redha dengan ketetapan dan hikmah di sebaliknya. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita,” ujarnya.

Rafizi Ramli sebelum ini pernah memainkan peranan penting dalam gerakan reformasi sejak era awal Reformasi 1998, termasuk menggerakkan Kempen Antarabangsa Bebaskan Anwar serta menghasilkan buku bagi menjelaskan kes mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada umum.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan tekanan politik, Rafizi kekal teguh dengan idealisme perjuangan reformasi, sekali gus memberi sinar harapan kepada penyokong setia yang mendambakan perubahan dan integriti dalam politik tanah air. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan