HANYA sekitar 100 hingga 150 ekor dugong dilaporkan masih wujud di perairan negara ketika ini, sekali gus menjadikan spesies marin tersebut antara mamalia laut yang paling terancam di Malaysia.
Spesies dugong (Dugong dugon) yang bergantung sepenuhnya kepada ekosistem rumput laut cetek, berdepan risiko kepupusan akibat pelbagai faktor, antaranya pembangunan pesisir, penambakan tanah, pencemaran dan aktiviti perikanan tidak lestari.
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Malaysia terus memperhebat usaha konservasi termasuk cadangan mewartakan Santuari Dugong di Johor yang melibatkan kawasan seluas 150,000 hektar.
Menurut kenyataan jabatan itu, langkah tersebut bertujuan melindungi habitat kritikal dugong serta menyokong penyelidikan dan pemantauan jangka panjang.
Katanya, Hari Dugong Sedunia yang disambut pada 28 Mei setiap tahun menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies marin yang semakin berkurangan ini.
“Pemuliharaan dugong merupakan sebahagian daripada komitmen negara dalam memastikan pengurusan sumber perikanan yang lebih mampan dan bertanggungjawab,” jelas kenyataan itu hari ini.
Spesies ini bukan sahaja dilindungi di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985, malah disenaraikan dalam Lampiran I Konvensyen CITES serta dikategorikan sebagai “Hampir Pupus” oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Katanya, populasi dugong di Malaysia tertumpu di kawasan seperti Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Besar di Johor, selain beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak.
Jelas Jabatan Perikanan, kawasan-kawasan tersebut turut menjadi habitat penting bagi pelbagai spesies marin lain seperti kuda laut, gamat dan ikan juvenil.
Selain cadangan pewartaan santuari, Jabatan Perikanan turut menjalankan tinjauan habitat rumput laut dan pemakanan dugong di kawasan Pulau Seri Buat dan Pulau Sembilang, Pahang. Penemuan awal mendapati kawasan tersebut juga berpotensi untuk dijadikan zon pemuliharaan.
Kerjasama strategik turut dijalankan bersama Yayasan Petronas dalam melaksanakan pemetaan taburan rumput laut di seluruh negara, termasuk penilaian stok karbon habitat berkenaan yang mampu membantu mitigasi perubahan iklim.
Jabatan Perikanan menegaskan bahawa kejayaan pemuliharaan dugong memerlukan sokongan padu pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi penyelidikan, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti nelayan tempatan.
“Perlindungan terhadap dugong tidak hanya penting dari sudut biodiversiti marin, malah mencerminkan kesungguhan negara dalam mengurus alam sekitar secara lestari,” katanya. – Edisi 9

