Sunday, July 19, 2026

Rafizi letak jawatan menteri, tamat tugas mulai 17 Jun 

Telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri dan akan menggunakan baki cuti tahunan bermula hari ini sehingga tarikh akhir perkhidmatan beliau.

Mesti Baca

MENTERI Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet dan akan menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 17 Jun ini.

Dalam satu kenyataan media, beliau memaklumkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri dan akan menggunakan baki cuti tahunan bermula hari ini sehingga tarikh akhir perkhidmatan beliau.

Menurut Rafizi, keputusan tersebut dibuat susulan kekalahan beliau dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini yang menyebabkannya tidak lagi memiliki mandat parti untuk meneruskan agenda rakyat dalam kerajaan.

“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberatkan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan,” katanya.

Rafizi, yang dikenali dengan pendekatan reformis dalam ekonomi, menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi yang telah memberikan kerjasama padu sepanjang tempoh beliau menerajui kementerian berkenaan.

Antara pencapaian utama beliau ialah pemuktamadan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menurutnya memberi penekanan kepada reformasi pendidikan menyeluruh termasuk pembaharuan struktur melibatkan Kementerian Pendidikan.

“Saya berharap Jemaah Menteri akan terus mempertahankan reformasi berani dalam RMK-13 walaupun saya tidak lagi berada dalam kerajaan,” ujar beliau.

Rafizi turut menyatakan keyakinan bahawa penjawat awam akan terus melaksanakan program pembaharuan ekonomi negara dengan penuh komitmen meskipun beliau tidak lagi menerajui kementerian.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar semua pihak terus membuat keputusan berani demi masa depan ekonomi negara dan generasi akan datang.

“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh.

“Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Pandan itu dilantik sebagai Menteri Ekonomi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022 dan merupakan antara tokoh utama yang membentuk dasar-dasar pembaharuan ekonomi negara sepanjang tiga tahun lalu.

Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini setelah ditewaskan oleh Nurul Izzah Anwar.  – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan