
TIADA satu negara pun di dunia ini dapat maju secara bersendirian, semuanya memerlukan kerjasama.
Atas dasar kerjasama maka wujudlah Kesatuan Eropah, Gabungan negara Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan (BRICS) dan juga 10 negara ASEAN. Tindakan sinergi sebegini akan memperkuatkan kerjasama serantau.
Kerjasama antara Malaysia dan Singapura untuk membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini membuatkan jiran terdekat tidak senang duduk diam.
Dengan termeterainya perjanjian tersebut pada 7 Januari 2025 di Putrajaya, ia menunjukkan kesungguhan kedua-dua negara untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serantau.
Projek itu melibatkan gabungan kekuatan Malaysia sebagai penyedia sumber asli dan tenaga kerja yang berdaya saing, dan kedudukan Singapura sebagai pusat kewangan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong mengetuai usaha itu pada sidang kemuncak pemimpin kedua-dua negara.

Bagaimanapun, Airlangga Hartarto, Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia tidak terlepas daripada memberikan ulasan.
Menurutnya, seperti dipetik media Antara News, Malaysia dan Singapura nampaknya cuba meniru kejayaan Indonesia membina Zon Ekonomi Khas khususnya dalam sektor mineral kritikal.
“Malaysia telah melihat kejayaan kita dalam menubuhkan beberapa SEZ, terutamanya dalam sektor mineral kritikal.
“Kini mereka cuba menerapkan konsep yang sama termasuk dalam bidang inovasi digital seperti AI dan pengkomputeran awan,” kata Airlangga.
SEZ Johor-Singapura terletak bersebelahan dengan SEZ Batam dan SEZ Galang Batang di Kepulauan Riau, Indonesia.
Kawasan itu akan memberikan persaingan langsung kepada SEZ Indonesia, yang telah lama menarik pelabur global.
Laporan oleh Nomura, yang disusun oleh Penganalisis Penyelidikan Tushar Mohata berkata, JS-SEZ mempunyai potensi besar untuk menarik syarikat yang ingin mengurangkan risiko beroperasi di negara ASEAN lain seperti Vietnam dan Indonesia.
“Gabungan status Singapura sebagai pusat kewangan global dan infrastruktur kompetitif Johor menjadikan rantau ini pilihan pelaburan yang menarik. Rangkaian pengangkutan seperti Pautan RTS Johor-Singapura dan ART/LRT Johor juga menambah nilai,” kata laporan itu.
Airlangga mengakui Indonesia tidak boleh menghalang negara lain daripada meniru dasar pembangunan SEZ.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Indonesia perlu bersedia untuk bersaing.
“Ancaman ada di mana-mana, tetapi kami perlu bersaing. Itu kuncinya,” kata Airlangga.
Untuk menjadikan ASEAN sebagai sebuah rantau yang maju, beberapa strategi utama boleh dilaksanakan:
- Memperkukuh Integrasi Ekonomi: Mewujudkan pasaran tunggal yang stabil dan berdaya saing melalui pengaliran bebas barangan, perkhidmatan, dan pelaburan. Ini termasuk memudahkan pergerakan ahli perniagaan dan tenaga kerja mahir serta aliran modal yang lebih bebas.
- Meningkatkan Kesalinghubungan Rantau: Memperbaiki infrastruktur fizikal, digital, dan institusi untuk memudahkan pergerakan barangan, perkhidmatan, dan orang antara negara anggota. Ini akan meningkatkan daya saing ASEAN dalam rantaian bekalan global.
- Memajukan Pembangunan Lestari: Menggalakkan inisiatif yang menekankan kelestarian alam sekitar dan penggunaan sumber secara mampan, sejajar dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian” yang dipilih oleh Malaysia sempena Pengerusian ASEAN 2025.
- Memperkasakan Sumber Manusia: Melabur dalam pendidikan dan latihan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja, terutamanya dalam bidang teknologi dan inovasi, bagi memastikan rantau ini mampu bersaing dalam ekonomi global.
- Memperkuat Tadbir Urus dan Hak Asasi Manusia: Memastikan pemerintahan yang baik, kedaulatan undang-undang, dan perlindungan hak asasi manusia untuk mewujudkan persekitaran yang adil dan demokratik.
- Meningkatkan Kerjasama Serantau dalam Pengurusan Bencana: Memperkukuh kerjasama dalam pengurusan bencana dengan berkongsi amalan terbaik dan membangunkan sistem amaran awal yang berkesan untuk meningkatkan daya tahan rantau ini terhadap krisis.
Dengan melaksanakan strategi-strategi ini, ASEAN dapat bergerak ke arah menjadi sebuah rantau yang lebih maju, berdaya saing, dan makmur.
Semoga semua negara ASEAN sama-sama maju dan menikmati kemakmuran hidup.
Penulis adalah mantan Profesor Madya di Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang yang aktif dalam penulisan di media sosial.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9. - Editor

