Tuesday, July 21, 2026

SPRM siasat Ismail Sabri, wang tunai RM170 juta, emas disita

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara - SPRM

Mesti Baca

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dalam siasatan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam matawang Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan hasil penahanan empat bekas pegawai kanan Ahli Parlimen Bera itu serta menggeledah tiga premis dipercayai menjadi safehouse.

Suruhanjaya itu berkata, turut disita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

“Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.

“Siasatan ini dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dua individu bergelar Datuk adalah antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan lanjut terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran beliau.

Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas turut ditahan oleh agensi antirasuah itu.

Sementara itu SPRM berkata, bekas Perdana Menteri itu sudah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024.

Katanya, pengisytiharan harta itu juga sudah dibuat secara rasmi pada 10 Februari lalu.

“Untuk makluman, Ismail Sabri sudah hadir ke pejabat SPRM bagi memberikan keterangan pada 19 Februari lalu. Namun, SPRM tidak menolak kemungkinan bahawa beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya,” kata SPRM.

SPRM berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

“Suruhanjaya ini ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.

“SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara,” katanya.

Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos 2021 selepas ahli-ahli Parlimen hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Sepanjang menerajui negara sehingga pembubaran Parlimen pada November 2022, beliau memperkenalkan slogan “Keluarga Malaysia” sebagai gagasan pentadbirannya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan