SETIAP kali tiba Syawal tiba, jalan raya mulai sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu menuju ke kampung halaman.
Tradisi pulang ke kampung sudah menjadi kemestian bagi ramai rakyat Malaysia, kerana di situlah keluarga berkumpul dan kenangan manis tercipta.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, ada satu cabaran besar iaitu rumah kampung yang semakin padat seiring dengan pertambahan ahli keluarga.
Cuba anda bayangkan situasi ini, ibu bapa di kampung menanti kepulangan anak-anak, menyiapkan rumah dengan sebaik mungkin, memasak dalam kuantiti besar, malah ada yang terpaksa berulang kali mengemas bagi memastikan keselesaan semua orang.
Sedangkan anak-anak yang pulang pula terpaksa berkongsi ruang tidur, berhimpit-himpit di ruang tamu, dan beratur panjang untuk menggunakan bilik air.
Semua ini boleh menjadikan suasana raya sedikit kurang selesa dan yang paling kasihan tentulah ibu ayah yang mengharungi penat lelah menyediakan kediaman selesa demi anak, menantu dan cucu-cucu tercinta.
Kerana itulah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ramai keluarga besar mula memilih untuk menyambut Hari Raya di homestay atau inap desa.
Bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk, jauh sekali mahu lari dari tradisi, tetapi lebih kepada mencari keselesaan dan kerehatan untuk semua ahli keluarga, terutama ibu bapa yang semakin lanjut usia.
Muhamad Luqman Noor dari Klang, Selangor antara yang memilih homestay sebagai lokasi berhari raya bersama keluarga berbanding di rumah ibu bapa.
“Saya ada enam adik-beradik, semuanya sudah berkahwin dan ada anak sendiri. Rumah mak ayah kami memang sudah padat. Bila ramai-ramai balik kampung, tidur jadi tak selesa, ada yang kena tidur di ruang tamu atau luar bilik.
“Sejak dua tahun lepas, kami putuskan untuk sewa homestay yang lebih luas supaya semua orang boleh tidur dengan selesa dan menikmati raya tanpa gangguan,” katanya.
Menyewa homestay juga memberikan privasi dan kebebasan kepada setiap keluarga.
Berbeza dengan rumah kampung yang kadangkala memerlukan ahli keluarga berkongsi bilik atau tidur berhimpit di ruang tamu, homestay memberikan ruang yang lebih luas dan bilik tidur yang mencukupi.
“Dulu, saya selalu rasa tak selesa sebab terpaksa berkongsi bilik dengan ramai orang. Sejak keluarga kami mula beraya di homestay, semua orang lebih selesa, tidur pun cukup rehat.
Keluarga Saiful Tarmaji dari Sepang, Selangor turut menghadapi masalah sama dan memilih berhari raya di homestay sebagai jalan penyelesaian.

Tahun lalu, mereka menyewa sebuah vila di Ipoh untuk menyambut Syawal bersama sanak saudara.
“Rumah mak ayah di kampung kecil sahaja. Setiap kali raya, semua anak-anak balik dengan keluarga masing-masing.
“Tidur jadi tak cukup ruang, dapur pula kecil, nak masak pun sempit. Jadi, kami bincang dan sepakat untuk menyewa homestay supaya semua orang lebih selesa,” kata Saiful.
Bagi mereka, keputusan ini adalah salah satu cara untuk meringankan beban ibu bapa.
“Biasanya, mak kami yang akan bersusah payah di dapur dari pagi sampai malam. Tahun lepas, semua masakan raya kami buat di dapur homestay yang lebih besar dan selesa.
“Jadi mak ayah hanya berehat dan menikmati masa bersama cucu-cucu,” kata Saiful yang turut dipersetujui isterinya.

“Ibu bapa pun lebih tenang, tak perlu risau anak cucu kepanasan atau bersesak-sesak,” kata Mira Kamal dari Johor Bahru yang pulang ke kampungnya di Terengganu.
Selain itu, homestay turut memberikan ruang untuk aktiviti kekeluargaan yang lebih menyeronokkan. Ada keluarga yang merancang sesi BBQ, bermain bunga api, dan memasak bersama-sama di dapur yang lebih luas.
Bagi mereka yang memilih homestay dengan laman yang besar, anak-anak bebas berlari dan bermain tanpa perlu risau tentang keselamatan di jalan raya yang sibuk.
“Dulu bila raya di rumah kampung, ruang agak sempit, jadi anak-anak tak boleh bermain bebas.
“Bila kami raya di homestay, mereka boleh main di luar rumah, kami pun boleh buat aktiviti BBQ malam raya. Suasana lebih santai dan menyeronokkan,” tambah Puan Mira lagi.
Fenomena ini turut memberi manfaat kepada pemilik-pemilik homestay yang menerima permintaan tinggi setiap kali musim perayaan.
Sementara itu, pemilik Villa Alyana di Ipoh, Perak, Nur Alyana Mardhiyah Mutalib berkata, semakin ramai keluarga mencari alternatif untuk beraya dengan lebih selesa.

“Banyak pelanggan saya adalah keluarga besar yang mahu berkumpul tetapi dalam keadaan yang lebih teratur. Mereka suka homestay yang ada bilik tidur mencukupi, dapur besar, dan ruang tamu yang luas untuk aktiviti bersama.
“Malah ada yang minta homestay dengan kolam renang supaya anak-anak boleh bermain air semasa cuti raya,” jelasnya.
Satu lagi kelebihan besar menyambut raya di homestay ialah mengurangkan beban kerja pembersihan selepas raya.
Biasanya, selepas tetamu pulang, rumah kampung perlu dikemas semula, pinggan mangkuk bertimbun, lantai penuh dengan kesan makanan, dan ruang tamu perlu disusun semula.
Tetapi, jika beraya di homestay, kerja pembersihan lebih mudah kerana semua ahli keluarga boleh bekerjasama sebelum check-out.

Malah, ada homestay yang menyediakan perkhidmatan pembersihan, jadi keluarga boleh pulang ke rumah masing-masing tanpa perlu risau tentang kerja-kerja mengemas.
Jelas bahawa berhari raya di homestay bukanlah satu trend yang mengabaikan tradisi, sebaliknya ia adalah penyesuaian kepada keperluan keluarga moden.
Ia membolehkan semua ahli keluarga menikmati raya dengan lebih selesa, ibu bapa lebih berehat, dan hubungan kekeluargaan lebih erat.
Dengan ruang yang luas, kemudahan moden, dan suasana yang lebih tersusun, homestay menjadi pilihan yang semakin popular.
Jika anda mempunyai keluarga besar dan rumah kampung sudah tidak mampu menampung semua orang, mungkin ini adalah masa yang sesuai untuk mencuba trend ini.
Siapa tahu, beraya di homestay mungkin akan menjadi pengalaman raya paling menyeronokkan untuk anda dan keluarga! – Edisi 9

