24.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 18, 2025

Adendum: Menteri UMNO sedia beri keterangan di mahkamah

Mesti Baca

MENTERI-MENTERI dari UMNO sedia memberikan kerjasama kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jika diperlukan untuk memberi keterangan berhubung keabsahan Titah Adendum terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu yakin Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum tersebut.

“UMNO merakamkan rasa syukur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

“UMNO yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum tersebut.

“Menteri-Menteri yang mewakili UMNO juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada Mahkamah Tinggi kelak jika diperlukan untuk memberikan keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sejurus selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang berlangsung di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur malam ini.

Advertisements

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membincangkan secara terperinci berhubung isu Titah Adendum tersebut.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri itu selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya untuk mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sebelum ini Zahid dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mengeluarkan afidavit bagi menyokong keabsahan Titah Adendum dalam prosiding Najib namun ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Amarjeet Singh.

Ekoran itu, Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu itu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding mengemukakan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Lima beregu negara melangkah bergaya ke separuh akhir

LIMA beregu negara masing-masing dua beregu lelaki, dua beregu campuran dan satu beregu wanita melangkah bergaya ke separuh akhir...

Lagi Artikel Berkaitan