UMNO berpendirian tegas agar Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) ditangguhkan pembentangannya di Sidang Dewan Rakyat akan datang sehingga dilakukan rombakan besar dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ia selaras dengan hasil Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar yang dianjurkan oleh parti itu pada sebelah pagi tadi.
“UMNO amat prihatin terhadap keresahan rakyat berkaitan RUU URA, justeru satu Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar telah diadakan pada 3 Oktober 2025 (hari ini) yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, pemaju serta orang perseorangan daripada pelbagai kaum.
“Selaras dengan resolusi konvensyen, UMNO berpendirian tegas untuk menangguhkan RUU URA yang sedia ada dan tidak diteruskan untuk pembentangan di Sidang Dewan Rakyat akan datang sehingga dilakukan rombakan besar yang mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan sejurus selesai mesyuarat tersebut.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO juga telah melantik Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mewakili parti itu bagi melakukan perundingan dan membawa pendirian UMNO bagi merombak dan menambah baik RUU tersebut demi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat marhaen terpelihara.
Sementara itu, beliau berkata, UMNO akan memastikan kerajaan melakukan segala usaha dan upaya untuk memastikan keselamatan dan pembebasan segera tanpa syarat dan kompromi kesemua sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang ditahan secara tidak sah oleh Regim Pengganas Zionis-Israel.
“UMNO meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terus konsisten dan tegas membawa suara Malaysia untuk dunia mengiktiraf negara Palestin dan mendesak regim pengganas Zionis Israel menghentikan kezalimannya dalam operasi penghapusan etnik yang sedang berlaku di Gaza,” katanya. — Edisi 9

