23 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

UMNO secara tegas tidak benarkan perlakuan lompat parti

Mesti Baca

UMNO hari ini berpendirian tegas tidak akan sesekali menerima dan membenarkan perlakuan lompat melompat ahli mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, budaya mengambil ahli atau pemimpin parti masing-masing hanya akan mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan hingga menggugat kestabilan gabungan.

“Pendirian UMNO tetap tegas bahawa UMNO tidak akan sesekali menerima dan membenarkan perlakuan ‘lompat-melompat’ ahli mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Cukuplah pengalaman pahit lampau dalam permuafakatan politik lalu hingga meruntuhkan kerajaan akibat perlakuan khianat dan lompat-melompat serta mencuri ahli sesama kalangan parti dalam permuafakatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan wujud perbincangan awal berhubung penyertaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ke dalam parti itu.

Perdana Menteri berkata, PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu termasuk Tengku Zafrul ke dalam PKR asalkan individu berkenaan boleh menyumbang kepada parti.

“Prinsipnya kita ambil sikap terbuka, orang yang boleh beri sumbangan pada parti tapi dengan (kemasukan) cara baik supaya hubungan kita dengan parti-parti (lain) termasuk UMNO (tidak terjejas),” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO memandang serius kenyataan Anwar yang mengesahkan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Industri ke dalam PKR itu.

“Perdana Menteri telahpun merujuk dan meminta pandangan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Advertisements

Semalam, Ahmad Zahir yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyelar tindakan ahli UMNO yang sanggup meninggalkan perjuangan parti demi mencapai kepentingan peribadi.

Pada masa yang sama, Presiden UMNO itu berkata, parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan juga tidak sewajarnya mengambil ahli dalam kalangan rakan gabungan yang membentuk kerajaan ketika ini.

Beliau menegaskan, parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan perlu menghormati BN, sama seperti BN yang menghormati rakan lain dalam gabungan berkenaan.

“Saya sebelum ini sudah keluar kenyataan jangan ambil ahli dari parti rakan komponen Kerajaan Perpaduan.

“Saya menghormati rakan parti lain, tapi parti lain tolong hormat BN, tolong hormat UMNO.

“Kalau ada kepentingan peribadi, kalau ada kepentingan individu, go to hell kepada kepentingan peribadi, go to hell kepada individu,” katanya semasa berucap dalam Konvension BN Peringkat Negeri Kedah di Sungai Petani.

Sebelum ini timbul desas-desus ada usaha menarik Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zahrul Abd Aziz agar menyertai PKR.

Langkah tersebut sebagai jalan bagi melantik Tengku Zafrul sebagai Menteri Besar Selangor memandangkan jawatannya sebagai senator akan berakhir tahun depan.

Bagaimanapun Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau patuh dengan titah Sultan Selangor yang mahukannya terajui negeri sehingga penggal ini berakhir. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan