LEBIH 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan bahan pornografi dewasa ditemui dalam serbuan di enam negeri menerusi operasi bersepadu Op Pedo, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua bahan-bahan tersebut disimpan di dalam peranti yang digunakan di premis kediaman kesemua suspek yang ditahan.
Beliau berkata, peranti-peranti tersebut terdiri daripada tujuh unit set komputer, satu unit komputer riba serta 11 telefon bimbit manakala 16 unit modem dan router turut dirampas.
“Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka atas kesalahan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Sesksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan kesalahan memiliki bahan lucah di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan di enam negeri yang dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu, seramai 13 lelaki tempatan berusia 20 hingga 74 tahun ditangkap.
Negeri-negeri terbabit ialah Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu.
Katanya, kesemua suspek akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Razarudin berkata, objektif Op Pedo bertujuan menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan aktiviti dalam talian, khususnya di media sosial.
Selain itu, katanya, ia bertujuan memberi kesedaran kepada ibu bapa, masyarakat serta penyedia platform tentang tanggungjawab melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak.
“Orang ramai terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak dinasihatkan agar meningkatkan kawalan kendiri, menjaga batas moral dan adab bersosial dalam talian bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah serta melaporkan sebarang penyalahgunaan rangkaian kepada pihak berkuasa.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang melakukan dan melibatkan diri dalam aktiviti jenayah,”katanya. – Edisi 9