KERAJAAN tidak akan sesekali berkompromi terhadap jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan sebarang bentuk jenayah yang mengancam masa depan mereka, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Malahan menurut beliau, kerajaan MADANI akan terus memberikan sokongan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak terpelihara.
“Kementerian Komunikasi sekali lagi menggesa semua penyedia platform dalam talian agar lebih proaktif menyekat sebarang aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pelaksanaan operasi bersepadu “Op Pedo” yang bertujuan menjejaki penjenayah seksual terhadap kanak-kanak di pelbagai platform dalam talian.
Dalam operasi bersepadu itu, seramai 13 individu lelaki tempatan berusia 20 hingga 74 tahun telah ditangkap dalam serbuan di enam negeri, setelah polis menjumpai sejumlah 40,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi.
Fahmi berkata, tindakan tegas itu membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, termasuk secara dalam talian.
Sementara itu, beliau menasihati ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan media sosial anak-anak terutama yang di bawah umur, bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Sama-sama kita melindungi generasi muda daripada segala bentuk ancaman dan eksploitasi,”katanya. – Edisi 9