PERGERAKAN Pemuda UMNO Malaysia melahirkan kebimbangan berhubung keputusan kerajaan menyelaraskan waktu bekerja sektor awam daripada 42 jam seminggu kepada 45 jam seminggu.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, keputusan tersebut akan memberi kesan kepada kakitangan yang bekerja secara syif termasuk mereka yang bekerja di sektor keselamatan dan kesihatan.
Beliau berkata, ia akan melibatkan ribuan kakitangan yang terlibat di seluruh tanah air memandangkan mereka merupakan frontliner (barisan hadapan) kepada negara dan rakyat Malaysia.
“Sebagai frontliner yang bertugas menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat, mereka sudah sedia berdepan dengan cabaran yang berat.
“Mereka bekerja tanpa henti, termasuk pada waktu malam, hujung minggu, dan cuti umum, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
“Keputusan untuk meningkatkan waktu bekerja ini bukan sahaja tidak menghargai pengorbanan mereka, malah berisiko menambah tekanan kepada mereka yang telah pun terdedah kepada risiko burnout,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO menggesa kerajaan mengekalkan dasar waktu bekerja 42 jam seminggu bagi mereka yang bekerja secara syif serta memberi pampasan atau cuti gantian kepada kerja shift yang bertugas pada cuti umum.
Selain itu, pergerakan itu mempertimbangkan pengenalan polisi kiraan jam setara bagi penjaga kebajikan penjawat awam yang bekerja secara syif.
“Polisi ini dicadangkan untuk memastikan setiap jam kerja selepas jam 5 petang dikira lebih daripada satu jam sebenar, contohnya sebagai 1 jam 20 minit.
“Ini mengambil kira bahawa waktu bekerja tersebut berada di luar waktu kerja biasa, yang mana bukanlah waktu ideal untuk manusia bekerja,” katanya.
Beliau berkata, melalui pendekatan tersebut, penjawat awam yang bekerja secara syif dapat mencapai jumlah jam kerja yang setara dengan penjawat awam yang bekerja pada waktu biasa.
“Dalam usaha membangunkan negara, kebajikan dan produktiviti mereka yang membanting tulang di sektor awam mestilah diutamakan.
“Oleh demikian, Pemuda UMNO Malaysia akan terus memperjuangkan nasib pekerja sektor awam dan memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan.
“Kami juga akan mengemukakan surat bantahan rasmi kepada pihak berkaitan untuk menegaskan pendirian ini,” katanya. – Edisi 9