Friday, June 5, 2026

Pereka fesyen dunia termasuk Malaysia berhimpun di Moscow

Mesti Baca

KOTA Moscow, Rusia kini diselubungi semarak dunia fesyen apabila Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ menjadi tumpuan ramai yang berlangsung mulai hari ini hingga 5 Oktober.

Acara besar-besaran itu, susulan musim fesyen di Milan dan Paris, akan mengetengahkan penyertaan lebih daripada 100 negara dari lima benua. 

Sidang kemuncak berkenaan merupakan platform yang praktikal untuk meneroka warisan budaya dari pelbagai negara, menampilkan fesyen yang sederhana, menjalin perkongsian perniagaan dan mempamerkan teknik kraf tradisional dari seluruh dunia. 

Dalam lingkungan ekonomi BRICS, industri fesyen mengalami satu lonjakan dari segi kepentingannya, dengan kemunculan ekosistem yang teguh bagi menyokong segala-galanya daripada pengurusan rantaian bekalan sehinggalah pengeluaran dan pemasaran.

Malaysia yang mengemukakan permohonannya untuk menyertai BRICS tahun ini, bersedia untuk berkembang. 

Menerusi pasaran fesyen yang bernilai AS$3 bilion, serta dijangka berkembang sebanyak 10 peratus menjelang 2029, Malaysia berhasrat untuk meluaskan kehadirannya di pentas antarabangsa. 

Presiden Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA), Jay Ishak yang mengetuai delegasi Malaysia ke Moscow berkata, sidang kemuncak itu akan menjadi medan perbincangan bernas dan semangat kerjasama memupuk hubungan komuniti yang utuh dalam kalangan negara BRICS.

Katanya, ini sekali gus bakal menyerlahkan keupayaan fesyen untuk dijadikan jambatan penghubung dari segi pertukaran budaya dan pembangunan ekonomi. 

“Sidang kemuncak ini menjadi pemangkin pertumbuhan terutamanya untuk jenama fesyen bersaiz kecil dan sederhana yang berhasrat untuk memasuki pasaran antarabangsa. 

“Ia memupuk amalan kelestarian, meningkatkan daya saing global dan mewujudkan suatu platform untuk berkongsi penyelesaian yang inovatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jay Ishak yang kali kedua menyertai sidang kemuncak itu berkata, program Perniagaan Sidang Kemuncak berkenaan bakal menyediakan platform yang sangat bernas dengan pelbagai maklumat dan begitu menarik dengan lebih daripada 40 sesi yang menampilkan pemimpin dalam industri fesyen dari seluruh dunia, termasuklah ketua persatuan fesyen dan pereka berbakat. 

Pada sidang kemuncak berkenaan, bakal berlangsung pameran luar biasa bertemakan ‘Warisan’ yang mengetengahkan kraf artisan dari lebih 40 negara. 

Pereka fesyen dari Malaysia, Yani Bakhtiar bersama-sama pereka dari Indonesia, Myanmar, Laos, Kemboja, Filipina dan negara lain, akan menampilkan identiti budaya masing-masing menerusi lensa moden.

“Pameran di Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ ini menyediakan peluang yang besar untuk menyerlahkan keunikan dan keindahan batik lukisan tangan kita serta berkongsi nilai dan cerita di sebalik rekaan ini. 

“Akhirnya, ia akan membantu kita untuk meluaskan rangkaian dan mencapai khalayak yang lebih meluas di pasaran global,” kata Yani.

Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ menjadi bukti kepada kuasa fesyen untuk menyatukan pelbagai budaya dan membentuk masa hadapan industri, sekali gus memacu pertumbuhan dan kemampanan ekonomi. 

Bertitik tolak daripada kejayaan acara tahun lalu yang memudahkan pertukaran pereka antarabangsa antara persatuan fesyen dari China, India, Russia, dan negara lain, Sidang Kemuncak tahun ini menjanjikan kerjasama yang lebih mantap. 

Minggu Fesyen Moscow (4-9 Oktober), berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak ini, akan menampilkan pereka fesyen dari negara BRICS dan negara lain, sekali gus meneruskan momentum dialog fesyen global. – Edisi 9

Related posts:

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan