32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, November 7, 2024

Malaysia sertai Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS

Persekutuan yang ditubuh sempena Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ di Moscow turut disertai lebih 50 negara.

Mesti Baca

LEBIH 50 buah negara termasuk Malaysia yang menyertai Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ di Moscow, Rusia bersetuju untuk menubuhkan Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS.

Persekutuan baharu tersebut bermatlamat mewujudkan pusat pengaruh baharu, mengukuhkan hubungan antarabangsa, meningkatkan kemampanan industri serta menyediakan peluang kepada bakat fesyen generasi baharu untuk berkembang. 

Presiden Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA), Jay Ishak berkata, penubuhan Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS termasuk Malaysia, mampu merevolusikan industri fesyen dengan memacu pertumbuhan, inovasi dan kerjasama dalam kalangan negara anggota. 

“Hal ini boleh meningkatkan perdagangan dan pelaburan, menyediakan akses kepada pasaran baharu, serta meningkatkan kelebihan daya saing, memudahkan perkongsian pengetahuan, penyelidikan bersama dan pada masa yang sama menggalakkan pertukaran budaya, kepelbagaian dan keterangkuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Rekaan Fesyen India, Sunil Sethi pula berkata, keperluan untuk mempunyai persekutuan fesyen negara-negara baharu sudah lama tertangguh. 

Advertisements

“Jenama, pereka fesyen dan pasaran, kesemuanya berhadapan dengan cabaran serupa — daripada gangguan rantaian bekalan kepada isu alam sekitar — yang lebih mudah diselesaikan bersama. 

“Dunia fesyen tertumpu kepada beberapa ratus jenama antarabangsa, justeru pasaran baharu memerlukan platform mereka sendiri supaya suara kita diberi perhatian,” katanya.

Memorandum untuk menubuhkan Persekutuan Fesyen Antarabangsa BRICS ditandatangani oleh barisan tokoh berpengaruh termasuk Ketua Pegawai Eksekutif minggu fesyen, peneraju persatuan fesyen dan tekstil, serta pemimpin akademik dari pelbagai negara.

Antaranya Malaysia, Indonesia, India, Singapura, Vietnam, Afrika Selatan, Russia, Ethiopia, Mesir, Sepanyol, Amerika Syarikat, Ghana, Tanzania, Jordan, Ecuador, Paraguay dan Kenya. 

Sidang Kemuncak Fesyen BRICS+ telah berlangsung pada 3 hingga 5 Oktober lalu di Moscow, Rusia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

SME Corp, Monsha’at Arab Saudi jalin kerjasama, kongsi maklumat

SME Corp. Malaysia menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Am Perusahaan Kecil dan Sederhana (Monsha'at) Arab Saudi bagi...

Lagi Artikel Berkaitan