KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mencari penyelesaian berhubung isu seorang guru duka lara di Sarawak yang diuji kesihatan isterinya.
KPM dalam satu kenyataan berkata, guru berkenaan, Izzuddin Izhar telah diberikan cuti untuk membolehkannya berada bersama-sama dengan isterinya.
“Satu pertemuan dengan beliau akan diadakan dalam waktu terdekat bagi membincangkan mengenai kebajikannya dan perkara-perkara lain yang berbangkit.
“KPM mendoakan kesembuhan isteri guru berkenaan dan akan memastikan kebajikan beliau dan keluarga terpelihara,” kata kenyataan ringkas menerusi media sosial hari ini.
Nasib guru tersebut yang dikenali Cikgu Din dan isteri mula mendapat perhatian di platform media sosial selepas rakan pasangan itu menyiarkan kisah mereka di Facebook semalam.
Menurut rakan itu, yang memuat naik di akaun Facebook Harima Abd Rahman, Cikgu Din dan isterinya kedua-duanya berasal dari Semenanjung dan berpindah ke Sarawak beberapa tahun lalu “semasa Covid” selepas guru itu dipindahkan ke sebuah sekolah di Kanowit.
Tidak lama selepas mereka berpindah ke negeri itu, isteri Cikgu Din jatuh sakit sebelum disahkan menghidap sejenis kanser tulang.
Cikgu Din mula mengalami cabaran dalam hidupnya selepas permintaannya untuk berpindah tidak diluluskan KPM.
Permohonan itu dibuat kerana cikgu berkenaan mahu berada di samping isterinya yang menghidap kanser dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan. – Edisi 9

