25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 6, 2024

Soon Huat-Shevon hampir pecahkan Tembok Besar China

Mesti Baca

PERSEMBAHAN yang menyakinkan selain persefahaman yang baik membolehkan pasangan beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie hampir memecahkan ‘Tembok Besar China’ dalam perlawanan akhir Terbuka China sebentar tadi.

Berdepan dengan beregu no. 2 dunia yang juga wakil tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping tidak menghalang pasangan suami-isteri itu mempersembahkan aksi terbaiknya sebelum tunduk 21-16, 14-21 dan 17-21 di Changzhou.

Biarpun tewas, beregu ke-12 dunia itu tetap membanggakan negara apabila berjaya mara ke peringkat akhir Super 1000 buat pertama kali dalam karier mereka.

Pada set pertama, Soon Huat-Shevon yang turun dalam misi menjulang kejuaraan ketiganya tahun ini, membuat kesilapan mudah sehingga membolehkan beregu China mendahului 4-1.

Namun mereka cepat memperbaiki permainan dan berjaya menyamakan kedudukan di mata kelapan sebelum mendahului 11-9 dan seterusnya meninggalkan lawan kepada 15-11.

Yan Zhe-Dong Ping tidak mudah mengalah cuba merapatkan kedudukan kepada 18-16 dan kedudukan itu terikat sehingga beregu negara berjaya memperoleh mata penamat dengan 21-16.

Memasuki set kedua, beregu negara bermula garang dengan mendahului 5-0 sebelum pasangan China berusia 23 dan 29 tahun itu menyamakan kedudukan kepada 10-10.

Advertisements

Yan Zhe-Dong Ping bagaikan menemui rentak apabila meraih mata demi mata menerusi permainan pantas membolehkan mereka mendahului 19-12. Soon Huat-Shevon cuba mengejar tetapi terlambat dan tewas 14-21.

Di set ketiga, beregu China yang menerima sorakan padu di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik itu bagai mendapat tonik selepas pertukaran gelanggang apabila mengutip mata demi mata untuk mendahului 20-10.

Bagaimanapun hasil kesilapan beregu tuan rumah, Soon Huat-Shevon berjaya memperoleh tujuh mata sebelum menutup gelanggan dengan kekalahan 20-17.

Dengan kekalahan tersebut, menjarakkan lagi pertemuan kedua-dua beregu tersebut kepada 2-0 setelah kali pertama mereka bertemu di pusingan 16 All England yang menyaksikan beregu China menang 21-12, 21-5.

Harapan negara untuk memecah Tembok Besar China kini diserah kepada beregu lelaki, Goh Sze Wei-Nur Izzudin Rumsani yang akan bertemu satu lagi beregu tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu. – Edisi 9

 

Advertisements

Terkini

‘Bike Week’ Team Selangor bina semangat patriotisme

TEAM Selangor telah menganjurkan program ‘Bike Week’ dalam usaha membina semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari...

Lagi Artikel Berkaitan