AHLI Parlimen Wangsa Maju dari Perikatan Nasional (PN), Zahir Hassan dinasihatkan agar tidak menyaman rakyat apabila mendapat kritikan dalam media sosial kerana itu adalah asam garam bagi seorang wakil rakyat.
Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, Zahir tidak perlu bertelinga nipis dan mengugut rakyat, apa lagi cerita tersebut ada benarnya.
“Jadi YB jangan telinga nipis. Sikit-sikit saman. Tidak perlu ugut rakyat apa lagi kalau cerita itu benar. Kamu pun mengaku hanya hantar wakil. Maka dakwaan dua kali tidak datang itu adalah benar.
“Rakyat tidak suka YB hantar wakil jika ada isu pembangunan. Sekali tidak apa. Tetapi kenapa sampai dua kali hantar wakil. Wakil rakyat kena nampak batang hidung jika rakyat panggil. YB dari Bersatu memang cepat koyak. Pilih YB BN (Barisan Nasional),” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Bagaimanapun, berdasarkan semakan Edisi 9, Zahir merupakan Ahli Parlimen yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, Zahir dilapor membuat laporan polis terhadap beberapa penjaja yang didakwanya membuat kenyataan berunsur fitnah dan tuduhan tidak berasas terhadap beliau menerusi media sosial.
Dalam satu kenyataan, Zahir berkata dia telah menonton sebuah video TikTok yang memaparkan kumpulan penjaja dari PPR Wangsa Sari yang menuduhnya gagal untuk berjumpa dengan mereka berhubung notis pengusiran yang dikeluarkan oleh DBKL.
“Saya ingin tegaskan di sini, bahawa tuduhan ini sama sekali tidak berasas.
“Saya sendiri telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk adakan pertemuan dengan pihak yang terlibat dan sehingga kini, mereka masih sedang berusaha secara aktif untuk membantu menyelesaikan isu tersebut,” katanya seperti dilapor Malaysikini. – Edisi 9