AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta agar menteri tidak main ‘sorok-sorok’ berhubung tragedi lubang benam di Jalan Masjid India.
Beliau mahukan menteri agar mencari jalan penyelesaian di luar kotak berhubungan lubang benam di ibu negara.
Katanya, ini termasuk isu penyelenggaraan utiliti bawah tanah dan perancangan jangka panjang dengan memindah ibu negara ke lokasi baharu.
Katanya, jika 800 penduduk flat Malayan Mansion yang berjarak kurang 50 meter daripada lokasi kejadian lubang benam bimbang keselematan mereka, menteri seharusnya jauh lebih bimbang.
“Sebab itu Menteri jangan duduk diam atau main sorok-sorok. Datang sekali dua tidak cukup.
“Penduduk sekitar dan rakyat Malaysia patut mendapat maklumat terkini mengenai ancaman lubang benam atau “sinkhole”,” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya hari ini.
Walaupun tidak menyebutkan menteri berkaitan namun dipercayai kenyataan itu ditujukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Musatafa.
Puad mengulas pandangan geologi bahawa sebahagian besar permukaan Kuala Lumpur didasari oleh batu kapur yang rapuh, mudah larut dan berongga.
Katanya, hujan, banjir dan kegagalan utiliti bawah tanah dikatakan menjadi punca banyaknya kejadian lubang benam di Kuala Lumpur.
“Ditambah aktiviti penggerudian dan pembangunan juga penyelenggaran infrastruktur yang lemah maka timbul cadangan, pindahkan Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang pelancong wanita dari India masih hilang dalam lubang benam yang berlaku di Jalan Masjid India di ibu negara. – Edisi 9