25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 8, 2024

Muhyiddin didakwa di Mahkamah Gua Musang esok

Mesti Baca

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor akan didakwa di Mahkamah Gua Musang, Kelantan esok susulan ceramahnya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dipanggil untuk memberi keterangan selepas didakwa menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R) ketika berkempen pada PRK tersebut.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor kepada Buletin TV3 hari ini.

“Ya. Tan Sri akan didakwa esok di Mahkamah Gua Musang berhubung ceramahnya di PRK Nenggiri baru-baru ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kertas siasatan berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada 66 saksi bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang (TMP), Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikai tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Advertisements

Titah baginda, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat seolah-olah ayahanda baginda tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri Ke-10.

Baginda bertitah, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah baginda.

Ucapan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu ketika berkempen di DUN Nenggiri yang mendakwa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli Dewan Rakyat selepas PRU-15 tular menerusi media sosial.

Beliau berkata, sokongan yang diperoleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

“Saya dapat 115. Kalau ikut kiraan Perlembahaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi perdana menteri. Ini bukan untuk mengungkit tetapi ia sebagai rekod atau sejarah.

“Tapi entah macam-mana Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu tak ajak jemput saya pergi istana angkat sumpah. Siapa Agong dulu. Pahanglah ya,” katanya seperti dilapor media. – Editor

Advertisements

Terkini

PRK Mahkota: BN sekali lagi pertaruh calon Pemuda 

BARISAN Nasional (BN) sekali lagi menpertaruhkan wakil Pemuda UMNO sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri...

Lagi Artikel Berkaitan