SEBANYAK 95.45 peratus daripada 4,437 para anggota tentera, polis dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mereka keluar membuang undi di tiga pusat mengundi iaitu di Dewan Pengaman Zamrud, Taman Perumahan Polis IPD Kluang; Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim dan Dewan Mahkota, Kem Mahkota Kluang.
Beliau berkata, mereka yang mendaftar sebagai pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan masing-masing.
“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pengawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, peratus pengundi awal yang keluar mengundi menunjukkan jumlah lebih tinggi berbanding pilihan raya umum (PRU) lalu.
“Ini merupakan peratusan yang agak tinggi berbanding PRU lepas,” katanya seperti dilapor media.
PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam pertandingan empat penjuru yang turut melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.
Dalam PRK kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dicabar oleh Mohamad Haizan Jaafar, 61, dari PN. – Edisi 9