SEPAKAN penalti yang disempurnakan Sapawi Rashid pada minit ke-73 membawa skuad Harimau Malaya ke pentas akhir Pestabola Merdeka setelah menyingkirkan Filipina 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Bagaimanapun tuan rumah dikejutkan oleh pasukan di ranking ke-147 itu apabila mendahului pada minit ke-27 hasil sepakan Jefferson Tabinas sebelum terkena kaki Feroz Baharudin dan bola menerjah jaring.
Tersentak dengan jaringan tersebut, anak-anak buah Pau Marti cuba mencari gol penyamaan namun gagal menemui sentuhan penyudah.
Bagaimanapun gol penyamaan akhirnya dijelmakan oleh Syamir Kutty Abba pada minit ke-43 yang bijak melorong bola ke penjuru kanan gol Filipina untuk mengekalkan kedudukan 1-1 sehingga menuju ke bilik persalinan.
Memasuki babak kedua, pengendali Sepanyol yang baru mengalih alih tugas yang ditinggalkan Kim Pan-gon cuba mengubah corak serangan dengan memasukkan Endrick Dos Santos dan Sapawi.
Hasilnya pada minit ke-70, Endrick berjaya membuat hantaran jauh mencari Arif Aiman Hanafi yang kemudian membawa masuk ke kawasan kotak penalti sebelum dijatuhkan oleh pertahanan Filipina.
Pengadil dari Indonesia, Yudi Nurcahya tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada tuan rumah yang berjaya disempurnakan oleh Sapawi.
Dengan kemenangan tersebut, Harimau Malaya akan bertemu Lubnan pada perlawanan akhir yang akan berlangsung di stadium yang sama Ahad ini.
Lubnan sebelum itu berjaya menyingkirkan juara edisi lalu, Tajikistan menerusi jaringan tunggal Jihad Ayoub pada minit ke-13 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung petang tadi.
Manakala Filipina dan Tajikistan akan bertemu bagi menentukan pasukan di tempat ketiga. – Edisi 9