BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah meneruskan aksi cemerlang mereka apabila menundukkan beregu nombor dua dunia, Baek Ha Na-Lee SoHee dari Korea Selatan untuk mara ke pentas akhir Terbuka Hong Kong sebentar tadi.
Pearly-Thinaah yang turut menewaskan pasangan tersebut di separuh akhir Terbuka Korea Selatan sebelum ini, berjaya menjinakkan pilihan kedua kejohanan itu dengan 22-20, 17-21 dan 21-15 dalam masa sejam 14 minit.
Dengan berbekalkan rekod tiga kemenangan dalam empat pertemuan, pertembungan Pearly-Thinaah dan Baek Ha Na-Lee So Hee merupakan perlawanan seimbang buat kedua-dua pasangan.
Permulaan yang cemerlang ditampilkan di awal permainan, sebelum beregu Korea Selatan itu berjaya menjarakkan kedudukan kepada 19-15.
Namun, Pearly-Thinaah berjaya mengejar permainan sebelum menoktahkan kemenangan 22-20 pada set pertama.
Pembukaan set kedua menyaksikan corak permainan bertahan cukup cemerlang daripada Pearly-Thinaah, pukulan smash kencang lawan berjaya dibalas dan memegang kelebihan mendahului 5-1.
Pasangan Korea itu menampilkan corak permainan yang lebih agresif sepanjang set kedua sebelum mengheret permainan ke set penentuan menerusi kemenangan 21-17.
Kedua-dua beregu kemudian mempamerkan keazaman yang tinggi dalam mengutip mata demi mata dalam set penentuan, menyaksikan Pearly-Thinaah berjaya mendahului 11-10 sebelum bertukar gelanggang.
Beregu negara itu terus memandang ke hadapan dengan meraih mata demi mata sebelum menoktahkan kemenangan 21-15.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut beregu negara mara ke pentas akhir Terbuka Hong Kong dan kali kedua dalam tempoh dua minggu selepas melakukannya di Terbuka Korea sebelum ini.
Beregu negara itu yang kini berada di rangking kelapan dunia itu akan berdepan dengan jaguh dari China, Liu Sheng Su-Tan Ning selepas menundukkan satu lagi beregu Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong 21-12, 18-21, 21-16 di separuh akhir.
Sementara itu hasrat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengulangi pencapaian di Terbuka Korea tidak kesampaian apabila mereka disekat beregu China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di peringkat separuh akhir.
Pasangan yang baru mengecap kejuaraan pertama di Terbuka Korea dua minggu lalu, tunduk dengan straight-set 21-14, 23-21 kepada pilihan pertama kejohanan itu.
Dengan kekalakan itu, bermakna hanya Pearly-Thinaah meneruskan perjuangan Malaysia di pentas akhir yang akan berlangsung esok. – Edisi 9