26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Berstatus OKU tak halang Nurhidayah cemerlang, aktif

Mesti Baca

HIDUP tidak pernah gagal memberi kita pelajaran, maka, bersedialah untuk menghadapi kehidupan,” kata ikon siswa kali ini, Nurhidayah Johari.

Anak bongsu daripada dua beradik yang berasal dari Kajang, Selangor ini bukan sahaja seorang mahasiswa cemerlang, tetapi juga seorang aktivis OKU yang gigih.

Pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling di Universiti Malaya (UM) ini mempunyai rekod akademik yang membanggakan.

Dengan CGPA semasa 3.75, Nurhidayah, 23, telah menerima Anugerah Dekan dan Anugerah Timbalan Naib Canselor.

Namun, pencapaiannya tidak terhad kepada bidang akademik sahaja.

“Saya percaya hidup bukan sekadar hidup, tetapi bagaimana kita memberi makna dalam sesebuah kehidupan,” ujar Nurhidayah yang kini memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Istimewa UM (PERMIUM) 2023/2024.

Nurhidayah ketika menjadi peserta Forum Pendidikan Tinggi Global tahun lalu.

Penglibatannya dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum, termasuk mewakili PERMIUM di pelbagai forum dan persidangan, telah membentuk keperibadiannya sebagai seorang pemimpin yang berkaliber.

Nurhidayah telah menempuh pelbagai cabaran kesihatan sejak kecil. “Saya pernah melakukan tiga siri pembedahan di kaki,” jelasnya.

Namun, cabaran ini tidak menghalangnya untuk terus berusaha memajukan diri dalam pelbagai aspek.

Malah, pengalamannya sendiri sebagai OKU telah mendorongnya untuk menjadi seorang pendokong advokasi bagi golongan Istimewa ini.

“Saya tidak menjadikan status OKU sebagai satu halangan untuk menuntut ilmu dan menyumbang kepada masyarakat,” tegas Nurhidayah.

Sebaliknya, beliau menggunakan pengalamannya untuk memberi inspirasi kepada orang lain. Ini terbukti apabila muncul johan dalam Young Disability Competition (YDC) 2022 dan menerima Anugerah Bintang Harapan 2024.

Selain advokasi OKU, Nurhidayah juga berminat dalam isu kesihatan mental.
“Saya suka membaca buku-buku yang berisi kandungan berat sejak remaja,” katanya, seraya menamakan buku motivasi oleh Mark Manson sebagai salah satu bacaan kegemarannya.

Menariknya, minatnya dalam bidang ini telah menjadikannya tempat rujukan rakan-rakan sekuliah dalam isu berkaitan kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan remaja.

Advertisements

Misi lima tahun Nurhidayah adalah jelas — memberi advokasi dan pendidikan mengenai OKU, meningkatkan pemahaman mengenai kesihatan mental, dan memperkasa golongan OKU untuk menggilap bakat dan kebolehan mereka.

“Saya percaya setiap hari adalah peluang baharu untuk setiap daripada kita untuk berusaha mencapai kejayaan, tanpa mengira latar belakang dan
keupayaan fizikal,” ujarnya penuh keyakinan.

Nurhidayah (bertongkat) bersama rakan-rakan aktivitis kampus.

Anak kepada seorang pengawal keselamatan dan pekerja kilang ini menjadikan beberapa individu sebagai suri teladan hidupnya, termasuklah Saidatina Safiyyah, Saidatina Aisyah, dan ibunya sendiri.

Beliau yang pernah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor perubatan semasa kecil, kini menghalakan impiannya ke arah kerjaya sebagai seorang ahli psikologi atau kaunselor berdaftar.

“Walaupun kelihatan terdapat perubahan yang ketara, namun sebenarnya cita-cita ini kesemuanya berkongsi elemen penting yang sama.

“Saya melihat diri saya sebagai seorang yang perlu berbakti kepada Masyarakat, terutamanya dalam perkara berkaitan kesihatan dan kesejahteraan diri,” kata Nurhidayah.

Nurhidayah kini sedang menceburkan diri dalam bidang pengucapan awam dan penulisan.

“Saya sedang dalam usaha menyiapkan penulisan buku saya yang pertama,” katanya.

Beliau juga sering dijemput menjadi panel dalam pelbagai forum, selain dilantik sebagai pengacara majlis.

Bagi Nurhidayah, kehidupan ini penuh dengan peluang dan ruang untuk berkembang.

“Saya sentiasa bercita-cita untuk memberikan manfaat dan harapan terhadap orang lain,” katanya mengakhiri perbualan.

Dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan, tidak hairanlah Nurhidayah sering menerima jolokan “leader” dalam kalangan rakan-rakannya.

Melihat pencapaian dan aspirasi Nurhidayah, jelas sekali bahawa masa depan advokasi OKU dan kesihatan mental di Malaysia berada di tangan yang selamat.

Semoga perjalanan Nurhidayah akan terus menginspirasi ramai lagi individu untuk bangkit mengatasi cabaran dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan