DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai seorang yang celupar dan tidak bertatasusila kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16 ketika berucap dalam kempen di Nenggiri baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, akibat keceluparan dan tidak bertatasusila tersebut telah mencetuskan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim.
Beliau berkata, keceluparan Muhyiddin itu mungkin disebabkan oleh sikap bekas Perdana Menteri itu yang gila talak kerana gagal mendapatkan semula jawatan tersebut.
Presiden UMNO itu berkata, Muhyiddin juga dikatakan tidak boleh menerima hakikat bahawa titah YDPA Ke-16, Al-Sultan Abdullah itu bagi menyatupadukan semua parti agar tidak berlaku ketidakstabilan dalam negara.
“Saya hormati kenyataan yang dibuat oleh Tengku Hassanal tentunya merupakan sesuatu yang harus dilihat kesan daripada keceluparan yang membangkitkan isu berkenaan.
“Mungkin orang itu (Muhyiddin) tidak boleh terima hakikat bahawa titah untuk membentuk kerajaan perpaduan itu dengan niat Tuanku bagi menyatupadukan semua parti-parti gabungan agar tidak lagi berlaku ketidakstabilan dalam negara.
“Tapi orang itu melihatnya dari aspek kegilatalakan kerana tidak dapat jawatan itu semula. Ia telah terpacul dari mulutnya ketika Nenggiri… sangat tidak bertatasusila kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Pidato Piala Nurul Amal di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Zahid berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa beliau telah mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan sepatutnya dipanggil oleh YDPA ketika itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Sebelum ini, Tengku Hassanal Ibrahim menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikai tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah ketika menjadi YDPA Ke-16.
Titah baginda, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat seolah-olah ayahanda baginda tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri Ke-10.
Baginda bertitah, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.
“Justeru, saya mahu pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (agama, kaum dan raja-raja),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. – Edisi 9