BAGAIKAN durian runtuh kepada para pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal membuka GiatMARA Prima di Gua Musang, Kelantan tidak lama lagi.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, GiatMARA berskala besar itu akan menjadi mercu tanda institusi pendidikan MARA di Parlimen tersebut.
Beliau berkata, pihaknya telah meminta GiatMARA untuk melakukan kajian mengenai program pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) yang paling sesuai dan mampu menawarkan pekerjaan kepada anak-anak muda di Gua Musang.
“Antara yang saya sendiri dapat maklum balas waktu di Nenggiri baru-baru ini termasuklah bidang automotif, penyelenggaraan mesin dan jentera pertanian, agro pertanian dan lain-lain.
“Insya-Allah saya akan pastikan hasrat ini dapat direalisasikan segera,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Sebelum itu, Asyraf Wajdi mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Ts Ahmad Hamdi Ibrahim mengenai cadangan penubuhan GiatMARA Prima itu di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggeri yang baru lalu, Barisan Nasional (BN) yang mewakili kerajaan Perpaduan berjaya merampas kerusi tersebut daripada Perikatan Nasional (PN) menerusi calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani.
Mohd Azmawi Fikri berjaya memperoleh 9,091 undi menewaskan Mohd Rizwadi Ismail yang mendapat 5,739, dengan majoriti 3,352 undi. – Edisi 9