TAN Sri Muhyiddin Yassin mendakwa ucapan beliau di Nenggiri telah diputar belit dan rakaman videonya disunting bagi tujuan memfitnah konon beliau telah menghina Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah dan menghasut rakyat agar membenci raja.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau telah memberikan kenyataan kepada pihak polis hari ini bagi menjelaskan tuduhan tersebut tidak benar sama sekali dan berniat jahat.
“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun (SD) Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.
“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan media hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, perkara itu telah berlaku hampir dua tahun yang lalu.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut beliau tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.
“Saya juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Malah, pada 24 November 2022, saya telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-10.
“Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah,” katanya.
Muhyiddin berkata, ketika memberikan kenyataan kepada pihak polis, beliau turut mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.
Dokumen tersebut ialah pucuk surat daripada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022 yang mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Seri Paduka Baginda meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 esSebelum jam 2.00 petang.
Selain itu, beliau turut mengemukakan 114 SD Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
SD itu, jelas beliau, telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 petang, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.
Turut diserahkan ialah surat akuan penerimaan SD daripada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong bertarikh 21 November 2022.
“Dengan penjelasan saya kepada pihak polis beserta dokumen-dokumen yang saya serahkan kepada mereka, saya berharap pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang.
“Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu dan taat setia saya kepada institusi Raja Berperlembagaan jangan dipersoalkan,” katanya. – Edisi 9