PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu ahli-ahli parti menghadam dengan sepenuh hati dan minda terbuka berhubung realiti politik baharu yang sedang dihadapi.
Beliau berkata, perubahan norma politik yang sedang berlaku menuntut semua ahli untuk terus beradaptasi dan memperkuatkan lagi perpaduan dalam parti.
Beliau berkata, kejayaan UMNO menghadapi cabaran tersebut akan menentukan masa depan yang lebih cerah untuk parti dan negara.
“Semoga dengan semangat yang sedang membara ini, kita dapat bersama-sama melangkah ke hadapan dengan tekad yang kuat demi memperkasakan agenda parti, agama, bangsa dan negara,” katanya hari ini.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja di Shah Alam, Selangor.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz.
Sementara itu ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Klang, Zahid mahukan parti itu merangka strategi dan mencari solusi bagi menastikan langkah lebih tersusun bagi mendepani pilihan raya akan datang
“Pesanan saya juga, kekal lah setia dan beristiqamah. Kukuhkan ukhuwah dan berpadulah bagi mengembalikan martabat dan maruah parti keramat ini.
“Saya percaya UMNO Klang akan terus bekerja kuat untuk menyelami isi hati masyarakat setempat serta memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara. Insya-Allah,” katanya. – Edisi 9