KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dinamakan sebagai calon Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baharu dalam pemilihan yang akan berlangsung Oktober ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hal itu selepas penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu rela memberi laluan kepada Hamzah menduduki kerusi nombor dua parti.
Menurut Muhyiddin, Ahmad Faizal akan ditawarkan jawatan Naib Presiden sebagai tanda menghargainya yang merupakan seorang daripada pengasas Bersatu.
“Ini sebagai satu daripada formula untuk iktiraf Ahmad Faizal sebagai satu dairpada pengasas parti.
“Penamaan Hamzah sebagai Timbalan Presiden pula adalah satu pengiktirafan beliau sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) dan Ketua Pembangkang di Parlimen.
“Beliau (Hamzah) juga mempunyai hubungan akrab dengan parti komponen lain. Saya tiada halangan langsung Hamzah sebagai Timbalan Presiden,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Bersatu hari ini.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kesemua jawatan tertinggi Bersatu kemungkinan tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan parti itu.
Bagaimanapun, katanya, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat sebelum tempoh pencalonan pemilihan parti tersebut kelak.
Jelas Muhyiddin, perkara itu diusulkan ketika ‘retreat’ bersama kepimpinan tertinggi Bersatu beberapa bulan lalu bagi mengelak pertembungan dan perpecahan dalam parti ketika pemilihan.
Sementara itu, menurut Muhyiddin, jawatan Setiausaha Agung Bersatu yang disandang Hamzah akan ditawarkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Muhyiddin berkata, langkah itu memandangkan Mohamed Azmin mempunyai banyak pengalaman politik dan seorang daripada tokoh penting dalam negara.
“Kita susun awal di peringkat atasan supaya suhu kempen Bersatu dalam pilihan raya tidak terlalu panas.
“Banyak persedian yang perlu diambil kira seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahu depan, selepas itu PRN Sarawak, PRN Johor,l dan PRN Melaka.
“Jangan jadikan pemilihan ini sebagai gangguan sehingga kita tidak memberi tumpuan kepada parti dan pilihan raya,” katanya. – Edisi 9

