PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM31.7 juta bagi melaksanakan projek ekonomi tambahan warga peneroka Felda.
Anwar berkata, ini bermakna sebanyak RM100,000 akan diagihkan kepada setiap 317 tanah rancangan Felda yang ada di seluruh negara menerusi Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani).
Beliau berkata, hasil perbincangan baik dengan pengurusan Felda, pihaknya juga bersetuju meluluskan peruntukan tambahan subsidi diesel berjumlah RM100 juta kepada Felda bagi menampung kos operasi ladang.
“Namun saya tegaskan Felda perlu memastikan pengurusan yang cekap tanpa campur tangan pihak lain serta menghentikan segala kebobrokan, kecurangan dan ketirisan wang rakyat,” katanya.
Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda 2024 peringkat kebangsaan di MAEPS Serdang, Selangor hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sebelum itu, Anwar menyingkap kisah orang miskin puluhan tahun lalu yang sanggup berkorban meninggalkan keluarga dan kampung halaman bagi meneroka tanah-tanah hutan.
Beliau berkata, pengorbanan bagi menyambut idea dicetuskan Allahyarham Tun Abdul Razak itu bagi membantu mengangkat darjat golongan miskin ini selaras dengan ibrah pengorbanan Nabi Muhammad SAW yang meninggalkan Makkah untuk berhijrah ke Madinah.
“Atas semangat itu, saya tegaskan betapa warga Felda perlu menekuni semangat hijrah Baginda dengan memastikan Felda menjadi contoh ikutan terbaik dengan memperbaiki diri, meninggalkan sikap lapuk dan menjadi umat yang seimbang,” katanya.
Menyentuh soal penyasaran subsidi diesel, beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan kerana tidak wajar untuk kerajaan terus memberi bantuan tersebut kepada golongan maha kaya dan warga asing.
Katanya, langkah yang dilaksanakan itu telah dipersetujui oleh semua Perdana Menteri terdahulu yang mentadbir sejak 1990-an.
“Namun saya akui masih ada kelemahan dalam pelaksanaannya yang perlu diperbaiki.
“Saya mendengar keluhan warga Felda yang banyak bergantung kepada diesel dalam kehidupan seharian dan sedia mencari jalan membantu selagi mana ia dirunding secara baik dan waras, ketimbang maki hamun dan cercaan semberono,” katanya. – Edisi 9

