27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Ops Pantau: Lebih 3,000 penguat kuasa, pegawai KPDN dikerah

Mesti Baca

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengerah lebih 3,000 penguat kuasa dan pegawainya bagi memantau harga barang sepanjang Ramadan dan sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mereka terdiri daripada 2,200 anggota penguat kuasa yang ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan pengguna termasuk penggunaan van Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna (STAR) dan kereta peronda.

Beliau berkata, langkah tersebut di pertingkat bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika.

Selain itu, menurut beliau, pihaknya juga mengerahkan seramai 900 pegawai pemantau harga (PPH) KPDN yang turut digerakkan bagi membantu pelaksanaan pemantauan harga di lapangan sempena Ops Pantau 2024 yang telah diaktifkan sejak 12 Mac lalu.

“Ops Pantau 2024 dilaksanakan secara berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan adalah seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, hypermarket, supermarket, premis borong, mini market dan kedai runcit.

“Pemeriksaan di bawah Ops Pantau 2024 memberikan fokus ke atas beberapa perkara, antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan dan kepatuhan halal,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Advertisements

Sebelum itu, beliau melakukan jelajah di Bazar Ramadan Pekan Papar untuk program Jualan Rahmah Ramadan di Tapak Tamu Mingguan di Papar, Sabah.

Armizan berkata, sejak 12 Mac yang lalu sehingga kini di seluruh negara, sebanyak 6,566 premis telah diperiksa sepanjang pelaksanaan ops tersebut dengan bilangan aduan yang diterima sebanyak 226 dan 26 kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan.

Manakala di peringkat negeri Sabah pula, tambah beliau, sebanyak 231 premis telah diperiksa, bilangan aduan yang diterima sebanyak 16 dan empat kertas siasatan dibuka untuk tindakan.

“Pada masa yang sama, pihak KPDN masih meneruskan pelaksanaan Ops Kesan di seluruh negara bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dari 6 peratus kepada 8 peratus.

“Berdasarkan pemeriksaan yang telah dijalankan oleh anggota penguat kuasa KPDN sebanyak 7,527 premis telah diperiksa, aduan yang diterima pula adalah sebanyak 25 dan 409 notis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan