27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Ubah kaedah lapok pertukaran syif di kaunter imigresen CIQ BSI

Mesti Baca

JABATAN Imigresen sepatutnya mengubah kaedah lapok pertukaran syif petugas di kaunter yang dikatakan menjadi punca sering berlaku kesesakan di Kompleks Kastam, Imigesen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (CIQ BSI), Johor.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, alasan berlakunya kesesakan di pintu masuk negara di laluan Tambak Johor akibat pertukaran syif sepatutnya tidak berlaku lagi di bawah kerajaan Madani.

Ini kerana, kata beliau, konsep madani yang diterapkan oleh kerajaan hari ini mengutamakan tatakelola baharu yang lebih baik dan efisien.

“Apakah pertukaran syif akan jadi alasan selama-lamanya sehingga masalah kesesakan di CIQ BSI juga akan kekal selama-lamanya?

“Apakah sistem pertukaran syif lapok yang jadi punca kesesakan parah di BSI tidak boleh dibetulkan?

“Ia perlu diperbaiki supaya bukan sahaja pegawai tidak terbeban tetapi rakyat juga tidak terbeban kerana kesesakan di CIQ BSI,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menafikan berlaku kesesakan luar biasa di pintu keluar masuk Tambak Johor pada Isnin seperti didakwa Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Presiden KPISM, Ajeet Singh Gurbax Singh berkata, sebaliknya apa yang berlaku adalah pertukaran syif kakitangan Imigresen di antara pegawai syif baharu dan sedang dalam giliran untuk rehat, selepas waktu puncak.

Ia berikutan kekecewaan Onn Hafiz apabila didapati 13 kaunter di laluan kereta di Tambak Johor tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan ketika beliau membuat lawatan mengejut ke CIQ BSI itu pada Isnin.

Advertisements

Mohd Puad berkata, kenyataan yang dibuat Presiden KPISM terhadap Menteri Besar berhubung kesesakan di CIQ BSI seolah-olah wujud sindrom penafian dan Napoleon Kecil.

“Meminta MB Johor tumpu perkara lain untuk diselesaikan bukti wujud mentaliti sempit untuk menjadi negara madani,” katanya.

Beliau berkata, Johor sedang merancang untuk menjadi negeri maju menjelang 2030 dan Pelan Maju Johor adalah komprehensif.

Katanya, ia bukan sekadar isu air tetapi juga isu kesesakan di pintu masuk selatan negara itu.

“Impaknya besar kepada ekonomi Johor dan negara. Bukan sahaja untuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tapi rakyat Singapura yang melancong ke Malaysia.

“Ia baik untuk peniaga dan pelabur Singapura yang berulang-alik ke Johor termasuk ekspatriat luar negara yang tinggal di Singapura.

“MB Johor turun padang beberapa kali seawal dan selepas subuh ke BSI dan kompleks CIQ. Itu bukti dia serius untuk selesai masalah.

“Lawatan mengejut dan turun padang adalah cara terbaik untuk selesai masalah. Jangan cuci tangan dan sapu bawah karpet,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Politeknik Sultan Idris Shah pertahan gelaran FIRA Malaysia

POLITEKNIK Sultan Idris Shah (PSIS), Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan