32.9 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Pencarian 50 PMKS terbaik menerusi Anugerah E50 bermula

Mesti Baca

PENCARIAN 50 perusahaan mikro, kecil dansederhana (PMKS) terbaik di negara ini apabila SME Corp Malaysia melancarkan Anugerah Enterprise 50 (E50) di ibu negara hari ini.

Anugerah E50 2024 dengan tema ‘Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia’ telah dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Ewon dalam ucapannya menekankan kepentingan kelestarian serta amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan PMKS.

“Melangkah ke hadapan, PMKS perlu melengkapi operasi perniagaan dengan aspek berkaitan kelestarian melalui penerapan amalan ESG iaitu Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Suriani Ahmad; Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Bernard Dompok dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy.

Sehubungan itu, kata Ewon, selain anugerah khas sedia ada iaitu Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50 dan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50, satu Anugerah Khas Baharu akan diperkenalkan di bawah Program Anugerah E50 pada tahun ini iaitu Anugerah Amalan ESG Terbaik E50.

Katanya, anugerah tersebut diperkenalkan bagi memperakui syarikat PMKS yang menjadikan ESG sebagai agenda utama dalam perniagaan.

Sementara itu, Bernard berkata, Anugerak E50 telah diperkenalkan sejak 1997 dan telah mendapat pengiktirafan industri sejak dua dekad lalu sebagai salah satu platform yang berkredibiliti dan menjadi rebutan bagi melambangkan pencapaian dalam perniagaan dan keusahawanan.

Katanya, sehingga kini E50 telah menarik seramai 2,225 peserta dan telah mengiktiraf 763 pemenang.

“Daripada pemenang E50 yang lalu, sebanyak 67 syarikat telah berjaya disenaraikan dalam pasaran modal, yang menambah lagi prestij anugerah ini,” katanya.

Rizal pula berkata, E50 telah berjaya mempromosi dan menonjolkan PMKS yang berdaya saing dan berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran global dalam semangat keusahawanan sejati selain meningkatkan penampilan syarikat.

Advertisements

Katanya, Meraikan ulang tahun ke-24 penganjurannya, Anugerah E50 yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini dianjurkan bersama oleh SME Corp. Malaysia dan Deloitte Malaysia.

Anugerah itu juga mendapat kerjasama rakan strategik seperti YTL Corporation Berhad, RHB Bank Berhad, KLIATV Media, RAM Rating Services Berhad, Media Prima Omnia, ASTRO Malaysia Holdings Berhad, Malaysia SME, Telekom Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad.

Bagi tahun ini, syarikat perlu mengemukakan pencalonan mereka secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu Penarafan Insentif PMKS (MyBPI) sebelum tarikh tutup pada 30 Jun 2024.

Syarat kelayakan Anugerah E50 adalah:

• Memenuhi definisi PMKS dan diperbadankan di Malaysia dengan sekurang-kurangnya 40% ekuiti tempatan;

• Mendapat penarafan 4 dan 5 bintang di bawah SCORE;

• Tidak disenaraikan di Bursa Malaysia;

• Mempunyai penyata kewangan beraudit 3 tahun terkini; dan

• Anak syarikat tidak layak jika Syarikat Induk mengambil bahagian.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Anugerah E50, sila layari laman sesawang, www.e50.com.my. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

CTOS sumbang RM30,000 biayai pelajar kurang bernasib baik

CTOS Digital Berhad telah menyumbang sebanyak RM30,000 untuk dana biasiswa bagi pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai, Ampang, Selangor...

Lagi Artikel Berkaitan