KISAH seorang paderi terkemuka di Australia, Gould David memeluk Islam baru-baru ini tersebar dan menjadi berita utama di negara berkenaan dan seluruh dunia.
Bekas paderi itu bukan calang-calang individu. Beliau dilaporkan telah mendedikasikan 45 tahun kehidupannya dengan berkhidmat di gereja.
Tidak dapat dipastikan bilakah tarikh sebenar beliau memeluk agama suci Islam.
Menurut laporan portal Muslim Telegraph, Gould David mengambil nama Islamnya sebagai Dave Abdur Rahman Gould.
“Berita ini telah menarik perhatian dan mencetuskan perbualan meluas dalam kalangan agama kerana orang ramai tidak sabar-sabar untuk mengetahui motivasi di sebalik keputusannya (kembali kepada fitrah Islam),” katanya memetik muslimtelegraph.com.
Difahamkan, Abdur Rahman sebelum ini pernah mendapat penghormatan sebagai seorang paderi dalam komuniti Kristian di bumi kanggaru itu.
Dalam catatan ringkasnya di laman sosial Facebook miliknya, Abdur Rahman mencoretkan: “Seumur hidup mencari kedamaian Tuhan dan al-Quran telah menunjukkan kepada saya bahawa keamanan dan kebenaran terletak dalam Islam,” katanya.
Berita tentang saudara baharu itu turut menarik perhatian dunia dan ramai yang meninggalkan komen di media sosial masing-masing.
Ramai yang mengalu-alukan pengislaman Abdur Rahman.
Mereka turut menitipkan pesan untuk Dave terus menggali ilmu tentang Islam dan menyampaikannya dengan sebaik mungkin. -Edisi 9