PROGRAM pertandingan nyanyian penuh misteri yang berjaya mencetuskan fenomena untuk tiga musim berturut-turut kini kembali dengan menampilkan kepelbagaian kostum dan daya tarikan yang menakjubkan.
‘The Masked Singer Malaysia’ musim keempat akan bersiaran secara langsung buat pertama kalinya, pada setiap hari Ahad, mulai 17 Disember, jam 9.00 malam di Astro Warna (Saluran 107 HD), dan juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand dan aplikasi Astro GO.
Tampil lebih gah dan bergaya, ‘The Masked Singer Malaysia’ musim keempat bakal membuka tirainya semula dengan kehadiran 15 orang barisan selebriti terkemuka negara daripada nama-nama hebat dari pelbagai cabang seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet sukan, pempengaruh media sosial dan ramai lagi.
Dengan mengekalkan format asal program realiti terkemuka ‘The King of Mask Singer’ daripada Korea Selatan, bakat-bakat ini akan bertanding dan memaparkan kehebatan nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri selebriti.
Hanya suara sahaja yang akan dipertaruhkan pada masa yang sama membuatkan panel juri meneka dan berdebat siapa dalang di sebalik topeng untuk dinobatkan sebagai juara.
Pengurus Saluran Astro Warna, Idlan Zaharie berkata, sebagai saluran komedi utama pilihan rakyat Malaysia, Astro Warna sentiasa peka dengan kehendak penonton dan berusaha menyajikan kandungan terkini, sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
“Kami menyambut baik sokongan peminat dan penontan yang mahukan perkembangan landskap industri hiburan dengan membawa kembali rancangan ‘The Masked Singer Malaysia’ di musim keempat yang akan bersiaran secara langsung dengan menggabungkan muzik dan komedi sebagai salah satu cabang seni yang bergerak secara beriringan; sekaligus mentakrifkan semula genre lawak.
“Menerusi kejayaan pada musim-musim lalu, Astro terus ke hadapan dengan menaiktaraf kostum-kostum untuk diperlihatkan kepada peminat dengan menyelitkan elemen yang dekat dengan masyarakat Malaysia termasuk flora, fauna dan kepelbagaian makanan tempatan, hasil rekaan Akma Suriati Awang serta mendapat sentuhan istimewa daripada pereka terkenal tempatan Syomirizwa Gupta,” katanya.
Selain itu, penjurian di musim keempat turut mengambil kira undian daripada Juri Tetap sebanyak 80 peratus dan undian daripada penonton sebanyak 20 peratus untuk setiap minggu.
“Astro berharap musim keempat ini dapat mengekalkan tradisi seperti sebelumnya apabila rancangan ‘The Masked Singer Malaysia’ berjaya mengungguli hati rakyat Malaysia dengan nilai produksi yang hebat serta suara-suara mantap di sebalik topeng.
“Siapakah dalang di sebalik 15 topeng yang ada? Kita tunggu dan lihat,” katanya.
Seramai 15 orang selebriti dan personaliti tempatan dengan gabungan duo akan memperagakan 14 kostum unik pada musim ini yang merangkumi Musang, Sang Kancil, Putera Katak, Mat Helang, Abang Jagung, Roti John, Bawang Putih, Kak Cat, Ikan Emas, Teratai, Bunga Matahari, Pom Pom Kin, Biskut Aiskrim dan buat julung kalinya, kami memperkenalkan pasangan duo Cili Padi di pentas ‘The Masked Singer Malaysia’.
‘The Masked Singer Malaysia’ musim keempat ini bakal menyaksikan pembabitan seramai sembilan orang personaliti daripada pelbagai cabang industri hiburan untuk menduduki kerusi Juri Tetap termasuk Datuk Aznil Nawawi, Erra Fazira, Elly Mazlein, Nabila Huda, Rozita Che Wan, Sherry Alhadad, Zizan Razak, Michael Ang dan Angah (SINAR).
Manakala pengacara tersohor, Datuk AC Mizal menggalas tugas sebagai hos sekali lagi.
Buat pertama kalinya, rancangan ‘The Masked Singer Malaysia’ bakal bersiaran secara langsung dengan durasi selama dua jam sehingga tiga jam bagi setiap episod, dan ini adalah satu lagi cabaran besar buat barisan peserta musim ini sekaligus menjadi cabaran baharu buat produksi.
Malaysia adalah negara ke-2 yang berani menyahut cabaran untuk bersiaran secara langsung. Walaubagaimanapun, pihak produksi telahpun meneliti setiap aspek keselamatan peserta sebagai langkah berjaga-jaga.
Bakal berlangsung selama 10 minggu dan dijalankan di CIBD Convention Center Kuala Lumpur, pelanggan Astro boleh menyaksikan musim baharu ‘The Masked Singer Malaysia’ pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Warna (Saluran 107 HD) dan juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO. -Edisi 9